Bola Sepak Semasa Terkini

Tak Berbaloi Jual RM1Juta

Nik Akif (dua,kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukan menjelang saingan Liga M.

LEGENDA bola sepak Kelantan, Mohd Hashim Mustapha menganggap langkah Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hendak menjual bintang muda, Nik Akif Syahiran Nik Mat dengan harga RM1juta tidak berbaloi semata-mata mahu mengurangkan beban hutang ditanggung mereka.

Bekas penyerang era 90’an itu berkata, nilai tersebut tidak mampu bagi badan induk bola sepak Kelantan untuk menyelesaikan hutang terkumpul berjumlah RM4.6juta.

“Jika ada pasukan nak, bolehlah jual tapi kalau jual Nik Akif (dengan nilai RM1juta) boleh ke selesai masalah ? Ada (baki hutang) RM3.6juta lagi, tak selesai juga masalah.

“(Kalau) nak jual tiga pemain lain lagi, rasanya tak sampai standard RM3 juta. Dia cakap Nik Akif bernilai RM1juta tapi tak tahu pasukan lain nak beli ke tak, maknanya syok sendirilah,” katanya kepada Cakap Sukan ketika diminta mengulas hasrat Kelantan mahu menjual pemain tengah itu.

Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan, Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman membayangkan kesediaan melepaskan pemain tengah berusia 21 tahun itu dengan tanda harga RM1juta sekiranya ada pasukan lain berminat mendapatkan khidmatnya.

Beliau turut memberi contoh pada zaman Tan Sri Annuar Musa ketika memimpin bola sepak Kelantan dimana KAFA melakukan tindakan bijak apabila meraih sedikit keuntungan selepas menjual Mohammad Ghaddar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Dulu jual Mohammad Ghaddar tak apalah boleh untung, mampu bayar gaji dua tiga bulan, kira berbaloilah tapi jual Nik Akif ni tak selesai juga.

“Itulah macam saya cakap, kalau jual boleh langsaikan hutang itu satu tindakan bijak, kalau jual tapi tak selesai (hutang) juga tak padanlah,” katanya.

Hashim melihat hanya JDT sahaja mampu memiliki Nik Akif kerana kewangan mereka kukuh berbanding pasukan lain.

Bekas pemenang Kasut Emas musim 1993 dan 1994 itu turut mengakui usaha KAFA untuk melepaskan pemain berkenaan pada pertengahan musim tampak sukar berikutan semua pasukan mengawal bajet masing-masing setelah terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Kalau ada pasukan yang berminat pun hanya JDT sahaja mampu bayar kerana kewangan mereka kukuh berbanding pasukan lain.

“Tapi sekarang semua pasukan pun berjimat, saya takut tak ada pasukan yang berminat nak beli,” ujarnya.

Pada masa sama, bekas pemain berusia 54 tahun itu mengakui ia satu kerugian besar bagi Kelantan sekiranya melepaskan perancang tengah berbakat itu.

“Kita nak lahirkan pemain berkualiti seperti Nik Akif bukannya mudah. Sejak 2017 lagi kita dah nampak bakat dia akan menonjol.

“Mungkin kalau jual dia RM4juta dapat selesai masalah bolehlah korbankan dia tapi jika tak selesai, itu kena tanya tuan badan (Nik Akif Syahiran) sendirilah,” jelasnya lagi.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: