Bola Sepak Semasa Terkini

Bukan langgar perlembagaan

Screenshot_20200805_180600

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menegaskan keputusan melantik beberapa individu bagi mengisi beberapa jawatan penting tidak melanggar perlembagaan persatuan itu.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, perkara tersebut tidak harus berbangkit kerana pihaknya mengikuti perlembagaan persatuan sebelum memilih individu berkelayakan mengisi jawatan tertinggi itu.

“Ya (pelantikan mengikut undang-undang) dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KAFA pada 4 Ogos dan berkuat kuasa serta-merta.

“Dengan pelantikan ini kiranya hanya ada satu lagi kekosongan kerusi naib presiden dan exco,” katanya kepada Cakap Sukan.

Semalam, badan induk bola sepak Kelantan yang masih berkabung susulan pemotongan tiga mata mengumumkan pemangku presiden, Datuk Shaari Mat Husain ‘dinaikkan pangkat’ menjadi presiden baharu menggantikan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang melepaskan jawatan nombor satu itu, 6 Julai lalu.

Sementara itu, dua daripada tiga jawatan naib presiden yang kosong diisi exco KAFA sendiri, Ahmad Muzakkir Hamid selain muka baharu iaitu seorang ahli perniagaan, Datuk Muhammad Amin Ridhuwan Ab Aziz.

Jawatan Bendahari yang dikosongkan bekas Pengarah Urusan TRW Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari turut diisi individu bukan dalam kalangan ‘orang dalam’ KAFA iaitu Mohd Razif Razali.

Pada masa sama, Husin mempertahankan keputusan KAFA melantik terus individu mengisi jawatan berkenaan tanpa mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) atau Mesyuarat Agung pemilihan sebagaimana kelaziman, sebelum ini.

Jelasnya lagi, pelantikan tersebut sebaliknya hanya sah sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan bukan sehingga penggal pentadbiran yang akan berakhir pada 2023.

“Ikut perlembagaan Jawatankuasa Eksekutif boleh melantik (mana-mana individu) dan sah sehingga AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) seterusnya. Maknanya, jika AGM (diadakan) hujung tahun ini, maka setakat (tempoh menduduki jawatan) itu sahajalah.

“Bukan hingga penggal (berakhir) 2023. Pelantikan ini tidak sehingga 2023 (sebaliknya) setakat AGM seterusnya,” ujarnya lagi.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: