Bola Sepak Semasa Terkini

EGM jalan penyelesaian buat Kafa

TERPULANGLAH nak buat EGM atau tidak” Demikian pandangan legenda bola sepak Kelantan, Mohd Hashim Mustapha mengenai keperluan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) bagi membentuk barisan kepimpinan baru mereka.

Bekas penyerang negeri itu berkata, meskipun ketika ini KAFA diterajui pemangku presiden, Datuk Shaari Mat Husain namun mereka masih boleh berfungsi seperti biasa selepas beberapa jawatan penting dikosongkan, sebelum ini.

“Kalau nak bergerak sekarang memang payah sedikit bila tak cukup korum tapi kalau beliau (Shaari) teruskan maknanya satu cabaran baginya, itu kira baguslah.

“Cuma tahun depan kita tak tahu nasib Kelantan macam mana, boleh ke tidak bermain dengan masalah beban hutang ini,” katanya kepada Cakap Sukan, hari ini.

Ketika ini, badan induk bola sepak Kelantan dipimpin Shaari, naib presiden paling kanan yang diangkat selaku pemangku presiden selepas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah meletak jawatan, 6 Julai lalu.

Sementara itu Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah masih dalam status “berehat” selain difahamkan terdapat dua hingga tiga ahli majlis yang tidak didedahkan nama mereka turut meninggalkan persatuan itu, baru-baru ini.

Bagaimanapun KAFA di bawah pentadbiran Shaari tampak masih bergelut untuk menyelesaikan krisis kewangan setelah gagal membawa masuk sebarang dana luar, ketika ini.

Menurutnya, EGM mungkin jalan penyelesaian terbaik sekiranya barisan kepimpinan yang ada ketika ini tidak lagi berupaya menyelesaikan hutang lapuk sehingga boleh menyebabkan Kelantan digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Kalau beliau rasa mampu pikul tanggungjawab, maknanya tak payah buat kongres (luar biasa), (hanya) tambah (lantik) jawatan (kekosongan) atau dia fikir untuk teruskan dengan barisan sedia ada.

“(Tapi) kalau rasa tak mampu, beliau terpaksa buat EGM semula untuk nak pilih barisan kepimpinan baharu. Tapi saya rasa kalau buat EGM tak ada orang sanggup jadi presiden,” katanya lagi.

Bekas pemenang Kasut Emas 1993 dan 1994 itu bagaimanapun berharap sekiranya EGM terpaksa dilakukan sebagai pilihan terakhir, semua ahli gabungan iaitu Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab untuk memilih individu yang dapat memulihkan semula bola sepak Kelantan itu.

“Tak boleh lagi main (kaedah) rakit-rakit (bentuk kem), (kalau ada) rakit pun kena pilih yang betul-betul boleh pikul tanggungjawab terutamanya jawatan tinggi seperti presiden, timbalan atau naib presiden.

“Begitu juga exco kena cari yang boleh buat kerja kalau dia tak mampu cari duit. Tapi sekarang lebih mustahak adalah nak cari duit,” ujar legenda berusia 54 tahun itu.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: