Bola Sepak Semasa

KBS pohon kebenaran kehadiran penyokong bola sepak

Reezal Merican memaklumkan sektor sukan dan rekreasi merupakan sektor yang memberi kebenaran secara berperingkat.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berhubung kebenaran penyokong menghadiri perlawanan bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) 2020, dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, permohonan berkenaan melibatkan fasa kelima (kehadiran penonton ke stadium dengan skala kecil) dan fasa keenam (kehadiran penonton ke stadium dengan skala besar, serta penyertaan atlet luar negara dalam kejohanan tempatan).

Beliau memaklumkan sektor sukan dan rekreasi merupakan sektor yang memberi kebenaran secara berperingkat, untuk membolehkan aktiviti sukan bersambung semula susulan penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

“Saya (pernah) dahulu kata bahawa, ‘exit and entry points’ untuk bola sepak ada tiga atau empat, mungkin kita boleh sediakan prosedur operasi standard, namun tidak ada lagi di dunia yang telah membenarkan kejohanan atau perlawanan bola sepak, yang mempunyai penonton.

“Jadi, saya fikir kita mulakan secara berperingkat dan beransur-ansur. Kita tak mahu buka terlalu cepat, akan berlaku kenaikan mendadak penularan (kes COVID-19), dan akhirnya (wujud) kluster sukan yang menghakis keyakinan bukan sahaja rakyat, tetapi juga pihak kerajaan untuk memberi kebenaran kepada kita (beroperasi semula),” katanya.

Reezal Merican berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri dialog bersama persatuan sukan kebangsaan, yang diadakan bersempena Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia ke-193, di Wisma OCM, di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan fasa ketiga sektor sukan dan rekreasi, yang berkuatkuasa bermula 15 Julai, menyaksikan aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal, selain penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan tiada bersentuhan fizikal tanpa penonton, dibenarkan.

Fasa keempat yang bermula 15 Ogos akan membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan bersentuhan fizikal tanpa penonton, antaranya saingan Liga-M.

Dalam perkembangan berasingan, Reezal Merican memaklumkan satu pasukan petugas akan diwujudkan dalam tempoh terdekat, bagi mengkaji semula keberkesanan Program Podium yang dimulakan pada 2015.

Beliau menjelaskan pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi merealisasikan hasrat Malaysia meraih pingat emas sulung pada Sukan Olimpik itu, akan diketuai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, untuk menilai semula struktur program berkenaan.

Ditanya mengenai Program ‘Road to Tokyo’ (RTT) 2020, Reezal Merican berkata, program berkenaan akan diteruskan seperti biasa di bawah pengawasan Majlis Sukan Negara dan ISN.– BERNAMA–

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: