Bola Sepak Semasa

FAM tidak kompromi

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) bertegas menolak amalan dwistandard, mengambil jalan pintas mahupun melanggar peraturan dan tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam memilih pemain untuk menganggotai pasukan kebangsaan.

Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM tidak akan berkompromi dalam mematuhi peraturan, garis panduan dan undang-undang kerajaan berhubung proses kuarantin berkaitan COVID-19 serta taraf kerakyatan untuk mana-mana individu bagi semua peringkat umur pasukan kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, menegaskan bahawa FAM tidak akan melanggar peraturan sedia ada, sama ada dari sudut SOP, proses dokumentasi yang ditetapkan kerajaan mahupun proses dalaman FAM semata-mata untuk memenuhi hasrat mana-mana individu.

“FAM tidak akan mengambil jalan pintas mahupun melanggar peraturan sedia ada dalam membuat pemilihan pemain.

“Proses dalaman FAM, termasuk keputusan jurulatih dan jawatankuasa FAM serta protokol penilaian dari sudut teknikal mestilah dihormati bagi berlaku adil kepada semua pihak.”

Stuart merujuk kepada dua kes bagi menggambarkan iltizam FAM mematuhi proses sedia ada, iaitu keputusan berhubung status Marcel Kalonda serta kepulangan Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal untuk menjalani latihan bersama skuad Bawah 19 tahun negara.

“FAM membuat keputusan Kalonda tidak boleh dipertimbangkan mewakili negara, berdasarkan semakan dan penyiasatan menyeluruh oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap semua dokumen berhubung dakwaannya yang mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia.

“Dalam hal Wan Kuzri pula, beliau mematuhi proses kuarantin selepas menyatakan kesediaan pulang dari Amerika Syarikat bagi menjalani latihan bersama skuad Bawah 19 tahun dan dinilai dari segi kemahiran teknikal sebagai usaha meyakinkan panel kejurulatihan bahawa beliau layak dipertimbangkan.

“Dua contoh ini mencerminkan kesungguhan FAM mengikut setiap proses undang-undang serta peraturan dalaman.

“Jadi FAM tidak ada niat untuk mengambil jalan pintas dan memberi keistimewaan kepada mana-mana pemain.”

“FAM mengambil pendirian bahawa kami akan menghormati semua proses sedia ada membabitkan pihak luar mahupun proses dalaman, khususnya protokol penilaian pemain dari sudut teknikal tanpa bergantung semata-mata kepada reputasi dan rakaman video.

“Tidak ada pemain yang boleh berfikir bahawa dia dipilih secara automatik atas dasar reputasi. Sebaliknya FAM sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dan menjadi pemudahcara bagi mana-mana pemain yang ikhlas untuk menyarung jersi negara,” katanya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: