
UMPAMA sirih pulang ke gagang, itulah perumpamaan digambarkan Naib Presiden FAM 2010-2017, Dato’ Takiyuddin Hassan yang kini menggalas amanah selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen) pada kunjungan hormat ke atas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM, sebentar tadi.
Kunjungan hormat Dato’ Takiyuddin yang juga Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak FAM , 1997-1998 itu membincangkan beberapa perkara antaranya berkaitan situasi semasa liga bolasepak tempatan terutama mengenai Liga Malaysia yang akan bersambung tidak lama lagi serta impak pandemik COVID-19.

Sementara itu, Hamidin amat berbesar hati menerima kunjungan hormat Takiyuddin yang dulu pernah menjadi ahli keluarga badan induk sukan ini suatu ketika dahulu.
“Dalam kesempatan ini, kami juga bercerita mengenai kisah lama dunia bola sepak dan pada masa sama Dato’ Takiyuddin nyata masih prihatin dengan isu semasa bola sepak tempatan dan negara.
“Kami juga membincangkan mengenai peta hala tuju FAM iaitu F:30 dalam memperkasakan bola sepak kebangsaan, ” jelas Hamidin.
Turut hadir, Pesuruhjaya Sukan, Dr Wirdati Mohd Radzi dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
Add Comment