Bola Sepak Semasa

35 pemain b19 sertai kem latihan pusat

Kem latihan pusat selama tiga minggu ini sebagai persediaan awal bagi menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang akan berlangsung di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober 2020.
Wan Kuzri antara pemain baharu yang dipanggil menyertai kem latihan pusat B19.

WAN Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal (St. Loius Football Academy) dan Muhammad Adam Nadzmi Zamri (BISP Cruzeiro Football Academy) antara pemain skuad B19 kebangsaan yang menjalani kem latihan pusat selama tiga minggu di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Isnin, 6 Julai 2020 hingga 26 Julai 2020.

Dalam senarai 35 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat kali ini, 14 pemain adalah dari skuad 23 pemain ketika saingan kelayakan di Phnom Penh, tahun lalu manakala baki 21 pemain merupakan pemain yang pernah dipanggil pada kem latihan pusat pemilihan tahun lalu dan juga muka-muka baharu untuk dinilai oleh Maloney dan barisan kejurulatihannya.

Beberapa tonggak utama dalam saingan kelayakan tahun lalu tidak dipanggil untuk kem latihan pertama ini seperti penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Luqman Hakim Shamsudin dan Ahmad Zikri Mohd Khalili, yang mana mereka dijangka menyertai pasukan pada kem latihan pusat berikutnya.

Kem latihan pusat selama tiga minggu ini sebagai persediaan awal bagi menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang akan berlangsung di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober 2020.

Malaysia berjaya menempatkan diri dalam kalangan 16 pasukan terbaik ke pusingan akhir ini apabila meraih slot selaku juara saingan kelayakan bagi Kumpulan G selepas menewaskan Thailand 1-0 pada perlawanan terakhir di Phnom Penh, Kemboja pada 10 November 2019.Bagi pusingan akhir ini nanti, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014 iaitu Qatar, Tajikistan dan Yemen pada majlis undian yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada 18 Jun 2020.

Kumpulan A menampilkan tuan rumah Uzbekistan, Indonesia, Kemboja dan Iran; Kumpulan B dibarisi Republik Korea, Jepun, Iraq dan Bahrain manakala Kumpulan C diisi oleh Arab Saudi, Australia, Vietnam dan Laos.

Mengikut jadual perlawanan yang telah dikeluarkan oleh AFC, Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan D bertemu Tajikistan pada Jumaat, 16 Oktober 2020 diikuti aksi kedua menentang Qatar pada Isnin, 19 Oktober 2020 dan seterusnya aksi terakhir kumpulan berdepan Yemen pada Khamis, 22 Oktober 2020. Ketiga-tiga perlawanan dijadual berlangsung di Stadium AGMK, Olmalik.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan (8 pasukan) seterusnya akan layak ke suku akhir yang mana jika Malaysia berjaya muncul juara Kumpulan D, lawan adalah naib juara Kumpulan C (Arab Saudi, Australia, Vietnam atau Laos) dan jika Malaysia naib juara Kumpulan D, lawan adalah juara Kumpulan C (Arab Saudi, Australia, Vietnam atau Laos).

Seterusnya, empat pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir akan secara automatik layak ke Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia. Namun jika Indonesia menjadi salah satu pasukan yang ke separuh akhir, maka satu lagi slot tambahan akan diberikan yang mana ia akan direbut oleh empat pasukan yang kalah pada suku akhir menerusi perlawanan playoff.

Jadual perlawanan Kumpulan D membabitkan Malaysia, Tajikistan, Qatar dan Yemen.

Pada edisi terdahulu iaitu Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia, Malaysia yang ketika itu dibimbing Bojan Hodak turut diundi dalam Kumpulan D, namun gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas 2-1 kepada Arab Saudi, seri 2-2 dengan Tajikistan dan kalah 2-0 kepada China untuk menduduki tangga terakhir kumpulan.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia sejak Kejuaraan B-19 AFC ini dimulakan pada tahun 1959 (dengan nama Kejuaraan Remaja AFC) adalah dengan muncul naib juara sebanyak tiga kali pada 1959, 1960 dan 1968 serta meraih tempat ketiga sebanyak dua kali pada 1964 dan 1965.

Pencapaian terakhir terbaik dilakukan pasukan Malaysia ialah pada edisi 2004 yang mana ketika itu Malaysia kendalian K Rajagobal (kini bergelar Datuk) selaku tuan rumah berjaya mara ke suku akhir sebelum tersingkir selepas tewas 3-0 kepada China.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: