
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Husin Deraman memberi jaminan skuad bola sepak Kelantan (Kelantan FA) tidak akan dibuburkan walaupun berdepan dengan isu tunggakkan hutang lapuk dan perkembangan semasa dalam pengurusan Kelantan FA.
Ujarnya, walaupun Kafa kini dihimpit isu tunggakan gaji dan yuran guaman beberapa pemain yang berpindah sebelum ini, skuad tidak akan dibubarkan.
“Tidak perlu bubar kerana saya melihat walaupun mendung ada sinar di hadapan,” jelasnya ketika ditemubual dalam rancangan RTM Sports, sebentar tadi.
Pada 28 Jun lalu, dunia bola sepak tempatan dikejutkan dengan tindakan Presiden Kafa, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah mengambil keputusan untuk ‘berehat’ seketika dan dipersetujui pihak Jawatankuasa Eksekutif Kafa.
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif tersebut turut bersetuju memberi mandat kepada Naib Presiden, Datuk Shaari Mat Hussin bagi mengemudi persatuan berkenaan.
Add Comment