
KEMUNGKINAN melihat saingan bola sepak tempatan dimulakan dalam masa terdekat semakin cerah susulan Kementerian Belia dan Sukan akan membawa cadangan memberi kelonggaran bagi semua pasukan mengadakan latihan secara kontak penuh pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 9 Julai ini.
Jika ini terlaksana penantian Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia (Liga M) yang tertangguh sejak Mac lalu tampak akan berakhir.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan cadangan kebenaran untuk latihan secara kontak penuh itu akan memperlihatkan juga harapan dan kemungkinan untuk Liga M dan kejohanan sukan lain dapat dimulakan dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, cadangan ini masih tertakluk kepada pandangan pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) serta persetujuan ahli Mesyuarat Khas Menteri-Menteri itu nanti.
“Saya juga akan mencadangkan supaya penganjuran kejohanan sukan dan rekreasi secara berperingkat bermula dengan aktiviti yang tidak ada sentuhan badan (non-contact) seperti sukan individu, sukan permotoran, sukan riadah, sukan air dan sukan ekstrem untuk dilaksanakan.
“KBS juga ada mengadakan sesi libat urus (engagement session) bersama penggiat industri sukan dari semasa ke semasa untuk berkongsi pandangan pembangunan sukan di Malaysia dan juga untuk sama-sama berbincang cadangan SOP yang bersesuaian ke arah pembukaan sektor sukan dan rekreasi secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi fasa 2 bermula 15 Jun 2020 yang lepas dengan kebenaran kepada orang awam untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan (non-contact), di fasiliti tertutup dan terbuka (indoor and outdoor facilities) serta pembukaan semula gimnasium, dewan tertutup (indoor venue seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai, pusat snuker, dan pusat- pusat sukan yang lain) untuk sukan non-contact.
Kebenaran turut diberikan untuk sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki dan sukan tempur seperti silat, taekwondo, dsb untuk memulakan program latihan tanpa sentuhan badan (non-contact training) dengan penjarakan sosial 3 hingga 5 meter antara seorang dengan seorang yang lain semasa latihan.
Ini secara langsung telah membolehkan pasukan bola sepak kebangsaan di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga pasukan bola sepak negeri dan kelab-kelab di bawah MFL serta akademi-akademi yang berdaftar untuk memulakan latihan bolasepak secara tiada sentuhan badan (non-contact training) mengikut SOP yang telah ditetapkan sejak 15 Jun 2020.
Add Comment