Luqman hakim sah ke belgium

OLEH : MOHD. FARIQ

HARTAWAN terkenal negara merangkap pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan memberikan jaminan kepada Luqman Hakim Shamsudin bahawa pemain muda negara itu memiliki potensi besar untuk menyinar di pentas Eropah.

Lebih tepat, Vincent Tan yang juga merangkap pemilik Cardiff City, mendedahkan penyerang kelahiran Kelantan tersebut telah menjadi milik kelab berpangkalan di Belgium itu.

Jelas lagi Vincent Tan, status masa depan Luqman, 18, tidak sepatutnya menjadi tanda tanya sebagaimana pemain itu sendiri telah menandatangani kontrak bersama KV Kortrijk.

Apa yang pasti, Luqman bergelar sebagai pemain Malaysia pertama dan Asia Tenggara keempat yang bermain di Belgium selepas Kawin Thamstachanan (OH Leuven), Nguyen Cong Phuong (Sint Truidense VV) dan Firza Andika (AFC Tubize).

“Kami telah menawarkan kontrak lima tahun kepada Luqman dan dia sepatutnya terbang (ke Belgium) lebih awal tetapi gagal berbuat demikian disebabkan pandemik Covid-19.

“Kami telah menawarkan gajinya lebih dari apa yang kami tawarkan dengan menaikkan gaji lebih tinggi berbanding perbincangan awal lalu.

“Apa yang pasti, Luqman telah bersetuju ke Belgium. Dalam masa seminggu ini, kami dalam proses terakhir perbincangan bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan kesemua pihak positif untuk melihat dia menyertai kelab kami,” katanya esklusif kepada Sinar Harian semasa pertemuan di The Taaras Beach Resort & Spa resort (Berjaya) di Pulau Redang, semalam.

Dalam perkembangan sama, Vincent Tan tidak terlepas melahirkan rasa kecewa terhadap situasi Luqman yang menjadi subjek di laman media sosial selepas dia dikaitkan dengan Newcastle United dan Bayer Leverkusen.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Newcastle menepis dakwaan kononnya berminat untuk membawa Luqman ke England sementara tiada sebarang respons daripada Bayer Leverkusen.

“Namun secara peribadi saya sangat kecewa tentang apa yang berlaku kepada Luqman sepanjang satu atau dua bulan ini.

“Dia tidak berkomunikasi dengan kami cara yang betul dan paling mengejutkan kami ketika dia menandatangani ejen untuk dirinya.

“Saya tidak berniat untuk menyalahkannya memandangkan dia masih muda dan tidak banyak tahu apa yang berlaku.

“Nasihat saya kepadanya supaya jangan sesekali membiarkan orang mengambil kesempatan terhadapnya dengan memberikan nasihat yang salah,” katanya.

Sementara itu, Vincent Tan menegaskan beliau yakin KV Kortrijk dapat menjaga Luqman dengan baik dalam misi mengangkat pasaran pemain Malaysia di peringkat Eropah.

Lebih mengembirakan lagi, Vincent Tan memberikan jaminan bahawa Luqman akan dibenarkan menyertai skuad kendaliannya Brad Maloney untuk membantu skuad bawah 19 (B-19) layak ke Piala Dunia B-20.

Sebagai rekod, KV Kortrijk menamatkan saingan Divisyen A Liga Belgium dengan tangga ke-11 dengan meraih 33 mata sepanjang 29 perlawanan.

Liga mereka telah dihentikan disebabkan pandemik Covid-19 dan menyaksikan Club Bruges dinobatkan sebagai juara liga selepas meraih 70 mata.

“Kami sendiri akan menjaga Luqman dengan baik dan sebagai rakyat Malaysia, saya tahu bagaimana mahu menjaga Luqman nanti.

“Impian saya adalah mahu menyaksikan Luqman bermain baik di Belgium dan menjadi pemain yang lebih bagus.

“Saya sebagai pemilik kelab KVK tahu apa yang saya harus lakukan dan saya akan melepaskan Luqman menyertai skuad kebangsaan pada Oktober depan.

“Sudah pasti kebanyakkan kelab tidak akan melepaskan pemain mereka sebagaimana mereka dalam peringkat pertandingan tetapi saya lakukan ini demi kepentingan negara. Kita harus menyokong Malaysia,” katanya.

Mohd fariq mempunyai pengalaman 20 tahun sebagai penulis sukan, khususnya bolasepak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s