Bola Sepak Semasa

FAM, KKM boleh mula bincang

OLEH : MOHD FARIQ

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mula memberikan isyarat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mengemukakan permohonan sesi latihan Fasa 2.

Menurutnya, FAM dan MFL boleh menghantar permohonan itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi pertimbangan pihak kerajaan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Namun, beliau berkata, FAM dan MFL perlu mengadakan perbincangan terlebih dulu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan prosedur operasi standard (SOP) bagi sesi latihan Fasa 2 tersebut selain cadangan Liga Malaysia (Liga-M) dilangsungkan lebih awal dan kebenaran penonton hadir ke stadium secara terhad.

“Semua cadangan itu akan dibawa oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri.

“Kini surat permohonan boleh dibuat dan ia terpulang kepada FAM dan MFL untuk mengemukakan permohonan itu bagi membolehkan Liga-M bersambung lebih awal,” katanya kepada Sinar Harian .

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan memaklumkan bahawa latihan Fasa 1 bakal menjadi penanda aras penting buat kesemua pasukan sebelum MFL melanjutkan proses kepada Fasa 2.

Ab Ghani menegaskan, proses kepada Fasa 2 akan menjadi lebih cerah jika kesemua pasukan patuh serta berdisiplin dengan mengikuti setiap SOP ketika menjalani sesi latihan dalam Fasa 1.

Sebelum ini, ada cadangan kepada FAM dan MFL untuk mempercepatkan jadual Liga-M sebulan lebih awal selepas menyaksikan penurunan statistik kes Covid-19 di negara ini.

Ini kerana perancangan FAM dan MFL untuk menyambung kembali saingan Liga-M yang ditangguhkan sejak Mac lalu pada September depan dilihat dapat diawalkan kepada Ogos depan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan, pihak kerajaan akan memperhalusi lagi setiap cadangan daripada FAM dan MFL termasuk membenarkan penonton hadir dengan bilangan terhad.

Sebagai contoh, kapasiti stadium mencecah 30,000 penonton, mungkin hanya membenarkan 5,000 penonton hadir bagi memastikan penjarakkan sosial berlaku.

“Pihak kerajaan sedia mengkaji dan boleh memperhalusi lagi cadangan untuk memulakan liga lebih awal. Kita akan tengok apa cadangan MFL dan FAM,” jelasnya.

**Mohd fariq mempunyai pengalaman 20 tahun sebagai penulis sukan, khususnya bolasepak

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: