
“TIADA apa yang mustahil dilakukan sekiranya kita sentiasa berfikiran positif dan bekerja keras,” itulah kata-kata semangat dan pendirian yang ada pada jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang.
Ujar atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu, kata-kata dan pendirian yang dipegangnya itu dibuktikan ketika memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara keirin.
“Ini mengingatkan saya ketika memenangi gangsa Olimpik Rio di sebalik saiz tubuh badan yang kecil jika dibandingkan dengan orang lain.
“Saya menggalakkan semua orang kekal kuat, aktif dan sihat bagi melakukan yang terbaik dalam apa jua perkara anda lakukan,” tulisnya pada akaun Facebook miliknya.

Mengimbau penyertaannya pada Sukan Olimpik, atlet berusia 32 tahun itu menyifatkan dirinya cukup bertuah apabila sudah tiga kali mewakili Malaysia pada temasya terbesar dunia itu.
“Saya sangat bangga dan bertuah dapat mewakili Malaysia pada Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.
“Kali pertama saya menyertai Olimpik adalah pada usia 20 tahun dan percaya saya adalah pelumba basikal termuda dalam sejarah yang berjaya melakukannya selain menjadi pembawa bendera dalam masa yang sama,” katanya.
Untuk rekod, Azizulhasni akan membuat penampilan kali keempat di Sukan Olimpik Tokyo tahun depan dan dia merupakan sandaran utama memenangi emas pertama kontinjen Malaysia pada temasya itu.
Add Comment