
ISU skuad Bawah 19 Tahun (B19) yang sehingga kini masih belum menjalani latihan berpusat sebagai persiapan untuk mengharungi kejuaraan AFC Bawah-19 2020 yang bakal diadakan di Tashkent, Uzbekistan susulan belum mendapat kebenaran dijangka selesai awal minggu depan.
Pengurus pasukan skuad B19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, lokasi kem latihan berpusat yang berpengkalan di Lembah Klang telah dikenalpasti dan kini hanya menunggu keputusan dari Majlis Sukan Negara (MSN).
“Kami telah mengenalpasti kem latihan berpusat yang sesuai buat pemain menjalani latihan serta persiapan dan keputusan kebenaran selewat-lewatnya Selasa hadapan,” jelasnya kepada CakapSukan sebentar tadi.
Skuad B19 yang layak ke Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan pada 14 hingga 31 Oktober perlu mengadakan latihan berpusat dan perlawanan pemanasan untuk menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk sebelum memulakan kempen AFC mereka di Tashkent, Uzbekistan, bersama Qatar, Tajikistan dan Yaman dalam Kumpulan D.
Mengulas mengenai tawaran menyertai beberapa perlawanan di Turki dan Paris, Kamarul Ariffin yang merupakan Exco Persatuan Bola Sepaka Malaysia (FAM) memaklumkan pihaknya perlu meneliti dari pelbagai aspek sebelum membuat keputusan.
” Ketika ini kami mahu menyusun semula program latihan yang terkesan dengan Pandemik Covid 19, melihat keperluan dan juga lawan.
“Pendekatan untuk menilai lawan dan keperluan logistik serta cuaca turut menjadi keutamaan,” ujarnya.

Untuk rekod skuad B19 akan berdepan Tajikistan pada 16 Oktober 2020, disusuli dua aksi berikutnya menentang Qatar (19 Oktober 2020) & Yemen (22 Oktober 2020).
Add Comment