
PENGENDALI Tottenham, Jose Mourinho melihat kejayaan anak didiknya meraih tiga mata menewaskan West Ham, 2-0 awal pagi tadi mencerahkan laluan mereka untuk meneruskan pemburuan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.
Gol sendiri Tomas Soucek pada minit ke 62 meletakkan Spurs di depan sebelum kapten England, Harry Kane menggandakan kelebihan ketika perlawanan berbaki lapan minit meletakkan Spurs kini hanya enam mata di bawah kelompok empat teratas dan satu mata di belakang Manchester United yang menghuni tangga kelima.
Jelas Mourinho, tiga mata yang diraih memperlihatkan prestasi pasukan yang semakin baik dan peningkatan prestasi.
“Gembira dengan keputusan ini, bermakna pasukan semakin mantap, pemain-pemain lebih yakin,” katanya yang kini merakam kemenangan pertama dalam lapan perlawanan sejak Februari.

Sementara itu penjaring gol kedua pasukan, Kane yakin dia mencapai tahap kecergasan terbaik selepas meledak gol pertamanya tahun ini membantu kemenangan pasukan.
“Saya bekerja keras sepanjang tempoh pemulihan, perintah berkurung dan latihan. Saya rasa ini tahap kecergasan terbaik saya.
“Apabila anda tidak beraksi enam bulan ia hanya soal mendapatkan semula perasaan di atas padang. Anda boleh berlatih seberapa banyak tetapi berada di sini adalah amat berbeza,” kata Kane yang menjalani pembedahan hamstring sebelum liga ditangguhkan akibat COVID-19. – AFP-
Add Comment