Hoki Semasa

KHM DALAM PROSES TERAKHIR

Subahan mempengerusikan mesyuarat yang diadakan sebentar tadi.

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) kini dalam fasa persediaan terakhir bagi memastikan Skuad Senior Lelaki serta Skuad Remaja Lelaki dan Wanita negara dapat memulakan sesi latihan di padang buat kali pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada minggu hadapan.

Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal memaklumkan, selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara (ISN) mesyuarat bersama pengurusan serta kejurulatihan KHM telah diadakan.

“Susulan daripada mesyuarat hari ini, Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal, Timbalan Presiden KHM, Prof. Dato’ Dr. Shamala Subramaniam, Dato’ Ahmad Najmi serta Cik Norfaraha telah mengadakan mesyuarat bersama barisan kejurulatihan skuad senior lelaki dan remaja lelaki serta wanita.

“Semua jurulatih telah diberikan maklumat terperinci perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh pemain serta barisan kejurulatihan dan pegawai yang terlibat sepanjang sesi latihan yang akan bermula pada minggu hadapan,” tegasnya.

Minggu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak bersama Pengerusi Jawatankuasa Perubatan KHM, Dr. Rajasingam Balasingan serta Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Cik Norfaraha Hashim telah mengadakan satu perjumpaan bersama wakil Majlis Sukan Negara (MSN) juga wakil Institut Sukan Negara (ISN) bagi mendapatkan pandangan lebih terperinci mengenai garis panduan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh latihan berjalan.

Dalam mesyuarat yang sama, Dato’ Ahmad Najmi telah membentangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan oleh KHM dan perlu dipatuhi oleh semua pemain sepanjang tempoh latihan tersebut.

Dalam masa yang sama, Subahan Kamal turut mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan serta latihan yang telah dijalani oleh setiap pemain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac lalu hingga kini.

“Sesi latihan padang yang akan bermula itu nanti akan menjadi medan persediaan buat Skuad Senior Lelaki Kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2020 yang dijadualkan berlangsung pada November ini.

“Sementara bagi Skuad Remaja Lelaki dan Wanita pula mereka akan meneruskan persediaan bagi menghadapi Kejohanan Piala Asia Remaja yang juga menawarkan tiket ke Piala Dunia Remaja, walaupun kejohanan yang ditangguhkan oleh Persekutuan Hoki Asia (AHF) sebelum ini masih belum mempunyai tarikh perlawanan yang baru.

“KHM sangat komited dalam memastikan semua SOP dan ketetapan yang telah dibuat oleh kerajaan akan diikuti dengan sebaiknya demi keselamatan semua pihak dalam mengekang penyebaran wabak Pandemik Covid-19 dan juga kelangsungan sukan hoki di negara ini,” ujarnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: