
Oleh MOHD. FARIQ
BEKAS Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Ibrahim Saad mendedahkan pasukan Harimau Malaya harus meneruskan perjuangan untuk bermain di Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2020.
Lebih tepat, Ibrahim menegaskan skuad kendalian Tan Cheng Hoe harus mempamerkan sikap profesional dan tidak perlu mengikut jejak langkah negara lain yang tidak berhajat untuk menyertai kejohanan ASEAN itu pada tahun ini disebabkan pandemik COVID-19.
Jelas Ibrahim yang dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM bermula 2005 sehingga 2007, pasukan kebangsaan harus komited mengikuti jadual ditetapkan oleh AFF biarpun Piala AFF Suzuki 2020 tiada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Katanya lagi, skuad Harimau Malaya tidak perlu bermain Piala AFF Suzuki jika badan induk itu sahaja bertindak membatalkan kejohanan dwi tahunan tersebut pada tahun ini.
“Kita (Harimau Malaya) harus terus bermain (di Piala AFF Suzuki), tidak perlu ada sebab mengapa kita hendak tarik diri semata-mata ada negara lain bertindak sedemikian.
“Ini kerana kita harus mengekalkan semangat profesionalisme kita dan saya yakin FAM akan memberikan lampu hijau kepada pasukan kebangsaan untuk turun bermain di Piala AFF Suzuki 2020.
“Saya percaya jaminan keselamatan itu ada daripada pihak penganjur jika kejohanan itu diteruskan kecuali AFF itu sendiri membatalkan piala tersebut, maka kita tidak boleh berbuat apa-apa.
“Apa yang mustahak adalah kesinambungan pasukan kebangsaan kita. Jadi kita perlu fokus kepada pasukan sendiri berbanding memikirkan pasukan negara lain,” katanya.
Terdahulu, Thailand dan Filipina dilaporkan sedang mempertimbangkan hajat untuk tarik diri daripada bermain Piala AFF Suzuki 2020 disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia.
Thailand memberikan bayangan tersebut gara-gara mahu memberikan tumpuan kepada perlawanan liga dan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang ditunda akibat daripada wabak COVID-19 daripada menyertai Piala AFF Suzuki 2020.
Manakala Filipina mungkin menarik diri daripada menyertai saingan Piala AFF Suzuki 2020 kerana saingan liga domestik mereka terpaksa ditangguhkan sehingga Disember ini.
Dalam perkembangan sama, Ibrahim yang pernah memegang jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia, memuji FAM yang masih memiliki niat untuk terus bermain di Piala AFF Suzuki 2020.
Katanya, sikap profesionalisme yang ditunjukkan oleh FAM itu seharusnya dijadikan contoh baik khusus badan induk persatuan domestik.
“Seperti saya katakan tadi, Harimau Malaya tidak perlu bermain jika AFF membatalkan kejohanan itu tetapi dalam masa yang sama saya mahu memuji FAM yang sentiasa menunjukkan satu semangat yang positif.
“Saya berharap perbuatan FAM ini akan menjadi baik kepada persatuan lain khususnya persatuan dalam negara kita sendiri kerana sikap profesionalisme itu sangat penting dalam sukan bola sepak,” ujarnya.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF Suzuki selepas tewas 2-3 kepada Vietnam secara timbal balik.
Ya