Uncategorized

‘Sentuhan magis YDPA angkat karier Zainal’

Oleh MOHD FARIQ
(Penulis sukan bola sepak lebih 20 tahun)

NAMA Zainal Abidin Hassan cukup besar dalam industi bola sepak Malaysia.

Masakan tidak, beliau antara salah satu penyerang legenda dalam sejarah Liga Malaysia mahupun pasukan kebangsaan dan setiap kali beliau jejak kaki di atas padang, pengulas pasti menyebut namanya yang sering kali tidak gagal untuk menghadirkan gol buat pasukan.

Penulis antara salah seorang penyokong setia dan mengikuti perkembangan Zainal sejak beliau memulakan karier sebagai pemain pada tahun 1980.

Tidak dapat dinafikan bakat besar Zainal mengangkat beliau menjadi salah seorang penyerang yang sentiasa digeruni lawan dan disegani kawan.

Namun di sebalik kemegahan karier Zainal sebagai salah seorang penyerang berjaya di Malaysia, mungkin sebahagian besar tidak mengetahui bahawa terdapat seorang individu yang sebenarnya mengangkat karier menjadi gilang gemilang.

Jelas Zainal, individu itu lebih awal melihat potensinya dan mengambil risiko untuk menjadikan beliau sebagai penyerang.

Zainal ketika beramah mesra dengan Al-Sultan Abdullah.

Dedah Zainal, individu yang dimaksudkan itu adalah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika itu baginda menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP).

“Pada tahun 1983, saya bermain sebagai pemain pertahanan kanan untuk Selangor bermula dari 1980 sehingga 1983.
“Selepas saya bermain tiga perlawanan bersama Selangor, saya berpindah ke Pahang tetapi saya tidak boleh diturunkan selama dua minggu disebabkan cooling period pada perpindahan itu.

Semasa itu Pahang menjadi pasukan pertama mendapat khidmat import – jurulatih Frank Lord dari England dan dua pemain Singapura – T.Pathamanathan dan R.Suriamuthi.


“Saya masih mengingati lagi ketika itu mantan jurulatih, Frank Lord telah berbincang dengan Tengku Mahkota Pahang (kini merangkap sebagai YDPA) dan hasil perbincangan itu, baginda mahu saya bermain sebagai penyerang.

“Sudah pasti tekanan itu sentiasa ada tetapi saya mahu membalas kepercayaan dan keyakinan baginda dan hasilnya, saya berjaya memenangi Kasut Emas dan membantu Pahang memenangi Piala Malaysia buat kali pertama menewaskan bekas pasukan saya, Selangor 3-2 di Stadium Merdeka pada tahun 1983.


Zainal menjaringkan gol kedua untuk Pahang semasa perlawanan di heret ke masa tambahan selepas terikat 1-1.


“Siapa sangka transaksi posisi itu membuahkan hasil dan saya tidak kekok untuk bermain sebagai penyerang. Mungkin tanpa keputusan Al-Sultan Abdullah, nama Zainal sebagai penyerang negara tiada dan saya ingin merakamkan sejuta penghargaan kepada baginda yang sentiasa menaruh keyakinan tinggi terhadap saya,” katanya.

Di sebalik kemegahan kariernya sebagai penyerang terbaik negara, figura bernama Zainal ini turut mencuri tumpuan penyokong-penyokong dengan penampil tersendiri iaitu gaya rambut afro.

Ketika ditanya mengenai sentimen rambut afro tersebut, datuk kepada empat cucu ini tanpa berselindung mendedahkan beliau merupakan peminat besar dua band yang memiliki gaya sama iaitu Jackson 5 dan Alleycats.

Kata Zainal, beliau antara salah seorang pengikut setia industri muzik luar dan tanah air sekali gus pengaruh dua kugiran kegemarannya itu menjadi penampilannya bergaya rambut afro dalam karier sebagai pemain bola sepak.

“Rambut afro ini adalah satu gaya yang cukup hebat ketika zaman itu. Saya masih ingat lagi semasa Sekolah Menengah Kebangsaan Maxwell, saya pernah ditegur cikgu supaya memotong rambut saya.

“Namun ketika itu peraturan di sekolah rambut tidak dibenarkan mencecah kolar baju dan rambut saya pula panjang ke atas. Itulah sebab mengapa saya berjaya mengekalkan gaya tersebut.

“Lebih manis dan mustahak, gaya rambut afro bukan sahaja menjadi trademark saya dan ia langsung tidak menganggu rentak permainan dalam karier saya,” katanya.

Sebagai rekod, Zainal antara salah seorang pemain Malaysia yang terpanggil selain Datuk Soh Chin Aun mewakili skuad kebangsaan Thailand ketika menentang pasukan gergasi Jerman, Bayern Munich pada tahun 1983.

Karier Zainal yang digandingkan Dollah Salleh buat pertama kali dalam pasukan kebangsaan pada tahun 1985, bukan sahaja gah sebagai pemain tetapi beliau juga membuktikan sentuhan tersendiri sebagai salah seorang jurulatih berwibawa.

Penampilan sulung sebagai jurulatih, Zainal berjaya membantu Pahang memenangi Liga Super pada tahun 2004 dan menjulang Piala FA dan Piala Malaysia bersama skuad Tok Gajah pada tahun 2014.

“Pertama saya ingin merakamkan rasa terima kasih kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah, Al-Sultan Abdullah, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman dan seluruh kerabat diraja Pahang di atas sokongan sepanjang karier saya dalam dunia bola sepak tempatan.

“Tidak lupa juga sokongan teguh daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan disusuli Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat, Allahyarham ayah mertua saya, Zaini Idris, mantan jurulatih Pahang, Mendiang Frank Lord dan semua pemain-pemain senior saya iaitu Datuk Santokh Singh, Chin Aun, Mendiang Datuk R. Arumugam, Reduan Abdullah dan lain-lain lagi.

“Tanpa kalian, tidak mungkin saya berada di sini dan menikmati pelbagai kejayan dalam dunia bola sepak tempatan mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya.

TRIVIA

  1. Zainal berkongsi rahsia kehebatannya beliau sebagai penyerang berbisa negara selepas mengamalkan tidur secukupnya sehari sebelum perlawanan dan berselawat keluar melangkah ke dalam gelanggang menggunakan kaki kanan.
  2. Stadium Kebangsaan Singapura Kallang menjadi gelanggang kegemaran buat Zainal. Dedah Zainal, jika ada 10 perlawananan di sana, tujuh gol pasti bakal berlaku sepanjang aksi itu selain faktor padang bagus dan suasana Kallang Roar antara sebab mengapa venue tersebut menjadi kegemarannya beliau.
  3. Nama Zainal tersenarai di dalam senarai 10 penjaring terbanyak sepanjang zaman pada bulan lalu ekoran kejayaan meledak 78 gol sepanjang 138 penampilan termasuk Sunil Chhetri, India (115 penampilan, 72 gol), Bashar Abdullah, Kuwait (133 penampilan, 75 gol), Pele, Brazil (92 penampilan, 77 gol), Hussein Saeed, Iraq (137 penampilan, 78 gol), Godfrey Chitalu, Zambia (108 penampilan, 79 gol), Kunishige Kamamoto, Jepun (84 penampilan, 80 gol), Ferenc Puskas, Hungary (85 penampilan, 84 gol), Cristiano Ronaldo, Portugal (164 penampilan, 99 gol) dan Ali Daei, Iran (149 penampilan, 109 gol).
  4. Zainal dipilih menjadi Pemain Paling Bernilai (MVP) ketika berusia 35 tahun semasa bermain Piala Tiger (kini dikenali Piala AFF Suzuki) pada tahun 1996 dan beliau ketika itu bermain posisi pertahanan di bawah kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan.

Informasi

Nama penuh: Zainal Abidin Hassan
Tarikh lahir: 9 November 1962
Tempat lahir: Selangor, Malaysia
Posisi permainan: Pertahanan, Penyerang
Kelab terkini: Melaka United (Ketua jurulatih)
Karier senior:
1980-1982 Selangor
1983-1985 Pahang
1986-1990 Selangor
1991-1996 Pahang
1997-1999 Selangor

Pasukan kebangsaan
1980 – 1997 Malaysia

Pemenang Anugerah Kasut Emas
1983
1986
1989
1992

Pasukan diurus
2001 Malaysia B-17
2004-2006 Pahang
2006-2008 Pahang
2009 Shahzan Muda
2009-2010 Shahzan Muda
2011-2013 Pahang (Pengurus)
2013-2014 Pahang (Penolong jurulatih)
2014-2015 Pahang
2016 Selangor
2017-2018 Pulau Pinang
2019- Melaka United

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: