Uncategorized

KAFA rayu bantuan kerajaan negeri

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) terpaksa menggunakan ‘talian hayat’ dengan meminta bantuan kerajaan negeri bagi membantu persatuan itu menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu mereka, ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, suntikan kewangan amat diperlukan memandangkan pihaknya tidak lagi mempunyai sumber pendapatan untuk bergerak ketika seluruh dunia berdepan penularan wabak Covid-19.

Malah kata beliau lagi, keadaan semakin runcing setelah penaja utama KAFA musim ini, After Image Sdn Bhd menarik diri akibat faktor aliran kewangannya.

“Kami merayu kerajaan negeri bantulah kami dalam kemelut kewangan yang meruncing ini. Sayangilah Kelantan FA yang pernah menaikkan nama Kelantan sewaktu ketika dahulu.

“KAFA adalah milik rakyat, mereka juga turut bersedih nasib yang menimpa kami, ramai di antara mereka telah terjemahkan dengan derma yang dilancarkan, penderma RM1 melebih 2,000 orang. Ini menggambarkan KAFA milik rakyat dan mereka sayang kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, badan induk bola sepak Kelantan diarahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Casio de Jesus berjumlah RM629,620.28 dalam tempoh 30 hari berkuatkuasa 23 April lalu.

Bagaimanapun, KAFA hanya mampu mengumpul tidak kurang RM14,000 menerusi derma atas talian ketika tempoh pembayaran kepada pertahanan Brazil itu, sepatutnya dilunaskan pada hari ini.

Persatuan sukan yang sarat dengan hutang itu terus bertambah parah apabila rakan kongsi mereka, After Image Sdn Bhd yang merupakan pemegang taruh terbesar dalam entiti berasingan, Team Red Warriors Sdn Bhd, mengumumkan menarik diri daripada menaja pasukan Kelantan, 21 Mei lalu.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: