
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2020 dan 1441H ini kepada seluruh muslimin dan muslimat di tanah air atau di mana saja berada.
“Pada ketika negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19 dan dengan kebiasaan baharu yang perlu kita terapkan pada lebaran kali ini, nampaknya ucapan sempena perayaan khususnya sambutan Aidilfitri akan menjadi tradisi yang jauh berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.
“Meskipun kita hanya mampu menyambutnya dengan syarat terhad tanpa berjabat tangan, hari kemenangan ini tetap disambut dengan penuh kenikmatan serta kesyukuran,” katanya menerusi laman Facebook rasmi FAM hari ini.
Bagaimanapun tambah Datuk Haji Hamidin, inilah masanya buat rakyat Malaysia khususnya penyokong bola sepak negara menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi untuk menjalin silaturrahim di Hari Raya.
“Jika tahun lalu kita berhari raya dengan tema Raya Bola di Stadium Nasional Bukit Jalil bersama Harimau Malaya kerana skuad negara mengharungi perlawanan pusingan pertama play-off kelayakan Piala Dunia 2022 (Zon Asia) bertemu Timor-Leste, tahun ini sambutan kita jauh berbeza dengan hanya duduk di rumah.
“Akhir kata, pada hari penuh mulia ini marilah kita terus berdoa ke hadrat Allah SWT agar pandemik COVID-19 ini segera berakhir dan aktiviti bola sepak negara akan kembali dapat diteruskan.
“Kini jemari tak sempat berjabat, kini raga tak dapat bertatap….seiring seruan takbir berkumandang ini, salam tulus ikhlas daripada saya dan warga kerja FAM mengucapkan Salam Aidilfitri…mohon maaf zahir dan batin,” kata Datuk Haji Hamidin.
Add Comment