Uncategorized

MPM kecewa APSF tidak profesional

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) kecewa dengan keputusan saat akhir Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) membatalkan Mesyuarat Tergempar Lembaga Pengelola (BoG) badan induk itu yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada semalam.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, tindakan itu seolah-olah tidak profesional kerana APSF tidak menyatakan alasan yang kukuh mengapa mesyuarat tergempar bagi membincangkan hala tuju Sukan Para Asean (APG) 2020 itu dibatalkan.

“Kami ke semua (ahli lembaga APSF) telah dijemput pada 20 Mei lalu untuk mengadakan mesyuarat tergempar secara maya yang dijadualkan pada tengahari ini (semalam), namun telah mendapat emel saat akhir pada pagi ini (semalam) daripada APSF untuk mesyuarat tersebut dibatalkan.

Menurut surat tersebut, keputusan untuk membatalkan mesyuarat itu dibuat selepas mendapat cadangan daripada Michael Barredo (Pengerusi BoG APSF) yang juga Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC).

“Beliau bertindak demikian selepas mendapat surat daripada Majlis Paralimpik Thailand yang menyatakan hasrat sedia menganjurkan APG 2020 dengan syarat temasya itu dianjurkan dalam skala yang minima dan dijalankan pada Disember 2020. Ini satu tindakan yang mementingkan diri sendiri kerana ketetapan segera perlu dibuat semua negara,” katanya.

Ujar Megat D Shahriman lagi, tindakan itu seolah-olah membuktikan tuan rumah asal APG 2020 Filipina sebagai tidak matang selepas terdahulu membuat ketetapan untuk membatalkan penganjuran temasya atas alasan krisis pandemik Covid-19.

Sepatutnya mereka terus memaklumkan kepada Majlis Paralimpik Thailand bahawa temasya ini telah dibatalkan untuk membolehkan kami meneruskan perbincangan bagi menentukan langkah seterusnya yang perlu diambil.

“Saya amat kecewa dengan apa yang terjadi sekarang ini, mereka Filipina khususnya Barredo banyak berdolak-dalik. Beliau hanya menggunakan surat kesediaan daripada Thailand yang telah menyentuh dan menyebut nama Pesuruhjaya Sukan Filipina sebagai alasan untuk pihaknya terlebih dulu perlu bermesyuarat.

“Saya tidak faham kenapa, ia bukan sesuatu yang serius dan boleh menggugat kerajaan Filipina ataupun menggugat mana-mana pihak setelah Filipina sendiri telah membuat ketetapan untuk membatalkan,” katanya.

Tambah Megat D Shahriman lagi, MPM mahu segera mesyuarat tergempar ini diadakan bagi membolehkan isu ini segera diselesaikan selain melihat kemungkinan untuk negara lain mengambil alih status tuan rumah temasya APG.

“Perbincangan secara lisan telah kami (Ahli Lembaga APSF) buat yang mana kami mahu pastikan Filipina tidak lagi menganjurkan dan jika ada mana-mana pihak
berminat untuk menganjurkan kami bersedia membuka peluang kepada negara tersebut.

“Jika benar Thailand berminat, kami perlu mencapai keputusan bersama kerana temasya ini membabitkan skala yang besar jadi kita perlu mendapatkan kepastian yang jitu daripada pihak mereka,” katanya.

Terdahulu, pada awal bulan ini tuan rumah Filipina membuat keputusan untuk membatalkan penganjuran APG 2020 dengan alasan penularan pandemik Covid-19 selepas beberapa kali menangguhkannya ekoran berdepan masalah kewangan.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: