MBM dapat peruntukan RM7 juta, ucap terima kasih kepada KBS

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) yang diterajui oleh Menterinya, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican di atas peruntukan sejumlah RM7 juta sebagai bantuan pentadbiran kepada semua pertubuhan belia di bawah MBM.

Sepertimana yang ditetapkan oleh KBS, bantuan tersebut dipecahkan kepada pentadbiran ibu pejabat MBM, 14 buah Majlis Belia Negeri, 105 buah Majlis Belia Daerah, 6 badan beruniform dan kepada 19 badan gabungan induk kebangsaan.

“Sesungguhnya, pengumuman yang dibuat oleh YB Menteri ini merupakan perkara yang amat bermakna bagi MBM sendiri. Hal ini kerana soal mendapatkan bantuan pentadbiran sebenarnya merupakan satu perjuangan yang sudah lama diperjuangkan oleh barisan kepemimpinan MBM bagi memastikan MBM dapat terus berdiri kukuh dalam memastikan hak belia dipelihara.

“Selain itu, peruntukan ini disalurkan tepat pada masanya dalam menyelamatkan pertubuhan-pertubuhan belia yang mengalami masalah kewangan yang kritikal terutama di peringkat akar umbi,” kata Setiausaha Agungnya, Hasnul Haniff Harun dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, katanya, setiap badan gabungan MBM dinasihatkan agar menggunakan peruntukan yang disediakan ini sebaik mungkin.

“Pertubuhan belia di setiap peringkat haruslah belajar dari pengalaman dalam menguruskan kewangan dan melakukan tanggungjawab ini dengan penuh berintegriti.

“Pemimpin di setiap pertubuhan juga harus mula menabung dan melabur dalam memastikan kelestarian ekonomi pertubuhan dapat diteruskan. Yang paling penting, jangan membazir dan mudah merasa selesa dengan wang bantuan,” ujarnya.

Beliau berkata, semoga dengan peruntukan yang disediakan ini dapat menjadi titik tolak kepada semua badan gabungan MBM untuk merangka perancangan strategik dalam menggerakkan program-program pembangunan belia positif seperti mana yang digariskan di dalam Dasar Belia Malaysia.

MBM juga berharap agar dengan bantuan ini dapat menggandakan usaha pertubuhan belia untuk membantu belia dan rakyat khususnya dalam musim Covid-19 ini.

Leave a Reply

%d bloggers like this: