
Kecemerlangan Muhammad Hazim Aiman Mohd Rosly dalam sukan taekwondo meletakkan dia antara bakat muda yang perlu diberi perhatian pada masa akan datang.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra 2, Kuala Krai itu telah meraih pencapaian cemerlang dalam sukan seni bela diri, sepanjang tahun lalu.
Antaranya pernah merangkul pingat emas pada Kejohanan Taekwondo Jemputan Sekolah-Sekolah Kelantan dan Kejohanan Taekwondo peringkat kebangsaan Zon Timur, Julai tahun lalu.

Anak kelahiran Kampung Laloh itu terus mengukir kejayaan di peringkat domestik apabila memenangi emas dalam Kejuaraan Taekwondo Terbuka MTA Gewinn Sekolah Asean di Pulau Pinang, September lalu dan Kejohanan Taekwondo Piala Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin di Kota Bharu, akhir tahun lalu.

Dipentas antarabangsa pula, anak sulung daripada empat beradik itu mencipta nama apabila menggondol emas pada Kejohanan Piala Song Ki Yong, Ogos tahun lalu.
Kejohanan yang berlangsung setiap tahun di Haytai itu sering kali disertai peserta taekwondo dari Malaysia selain beberapa negara termasuk Singapura dan Korea Selatan.
Susulan pencapaian tersebut, Muhammad Hazim Aiman telah terpilih menerima biasiswa sukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Bagi jurulatihnya, Master Zakaria Ismail mengakui anak didiknya itu mempunyai potensi besar untuk berjaya sekiranya mendapat bimbingan berterusan.
“Hazim ni seorang pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan tetapi juga akademik. Dalam sukan taekwondo, dia memberikan komitmen tinggi ketika menjalani latihan dan cukup berdisiplin.
“Sepanjang tahun lalu, Hazim meraih banyak pingat emas dalam beberapa kejohanan dan saya lihat masa depan dia ni cerah dalam taekwondo,” katanya kepada CakapSukan.com.

Sementara itu, Muhammad Hazim Aiman memberitahu, dia bercita-cita tinggi mahu mewakili negara dalam sukan berkenaan, suatu hari nanti.
“Saya nak ucap terima kasih kepada ibu bapa jurulatih, guru sekolah dan rakan-rakan yang selalu menyokong pembabitan saya dalam sukan ini.
“Pencapaian saya pada tahun lalu itu bukan sahaja menjadi penanda aras tetapi juga sebagai motivasi untuk saya mencipta lebih banyak kejayaan, pada tahun ini,” katanya.
Add Comment