
Kelantan terikat 1-1 dengan Nara United pada perlawanan persahabatan pra musim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Skuad kendalian Yusri Che Lah yang ketinggalan dalam babak pertama bagaimanapun terpaksa menanti sehingga penghujung permainan sebelum berjaya memperoleh gol penyamaan.
Pemain tengah Nik Akif Syahiran Nik Mat muncul penyelamat ketika pasukannya diambang kekalahan kepada kelab dari selatan Thailand itu.
Tempoh 10 minit pertama menyaksikan penguasaan penuh pemain Kelantan yang gemar bertukar-tukar hantaran pendek sesama mereka.
Minit ke-12, tuan rumah memperoleh peluang pertama untuk memecahkan kebuntuan tetapi percubaan Afiq Saludin di dalam kotak penalti melepasi palang.
Selang tiga minit, giliran Nara United mencipta peluang menerusi serangan balas pantas tetapi percubaan pemain import M. Amer hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.
Pelawat akhirnya mengejutkan tuan rumah apabila Khoiree memanfaatkan hantaran silang rakannya dengan merembat masuk menerusi percubaan menarik, pada minit ke-18.
Peluang terbaik skuad Team Red Warriors hadir pada minit ke-39 tetapi penyerang import, Rhulani Manzini mensia-siakannya setelah rembatan leretnya sekadar melintasi pintu gol lawan.
Tuan rumah terus menguasai permainan sebaik babak kedua bermula tetapi Manzini terus gagal meletakkan bola ke dalam jaring apabila tampanannya hasil umpanan Felix Chidi Odili tidak menepati sasaran, pada minit ke-55.
Anak buah Yusri terus mengasak ke kubu lawan untuk mencari gol penyamaan tetapi usaha Mohd Azwan Aripin yang melakukan larian ‘overlapping’ jelas tidak bernasib baik apabila percubaannya tujuh kemudian ditepis keluar Jaridet.
Yusri akhirnya bertindak mengeluarkan Manzini dan seorang lagi pemain import, Kang Seung-Jo pada minit ke-78 bagi memperkemaskan semula corak permainan pasukannya.
Percaturan itu berhasil apabila tiga minit kemudian Nik Akif Syahiran bijak memanfaatkan peluang terhidang di dalam kotak penalti dengan merembat masuk gol penyamaan melepasi jangkauan penjaga gawang pelawat.
Nara United seharusnya kembali mendahului pada minit ke-84 apabila sepakan bebas Mohd Sorfi-El di luar kotak penalti gagal ditangkap kemas Mohd Fikri Che Soh namun mujur tindakan susulan pemain lawat gagal menghasilkan gol untuk kedudukan 1-1 kekal hingga wisel penamat.
Add Comment