
Kredit foto : Kelantan FA
Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah tampak berpuas hati dengan persembahan semua pemain import ketika pasukannya berdepan Nara United pada perlawanan persahabatan di Kota Bharu, malam semalam.
Yusri bagaimanapun mengakui walaupun terdapat kelemahan namun dia yakin aksi pemain tersebut boleh ditingkatkan dalam aksi persahabatan seterusnya.
“Saya nampak mereka (pemain import) berusaha, (tetapi) saya tak boleh menilai kerana terlalu banyak kesilapan atau corak permainan negatif daripada pemain kita sendiri.
“Dalam babak kedua, nampak peningkatan walaupun saya perlukan masa lagi untuk pemain (import dan lokal) memahami antara satu sama lain,” katanya.
Pertemuan yang berkesudahan 1-1 itu menyaksikan dua penggempur, Felix Chidi Odili dari Liberia dan Rhulani Manzini (Afrika Selatan) gagal mempamerkan persembahan berkualiti menepati status pemain import berbanding janji mereka untuk menunjukkan aksi berbisa sebelum perlawanan itu.
Persembahan pemain Korea Selatan, Kang Seung-Jo yang dikatakan telah menandatangani kontrak bersama Kelantan juga dilihat mendatar sepanjang 90 minit.
Hanya pertahanan import Liberia, Varney Kallon Kiatamba Jr lebih menonjol dengan corak permainan bertenaga malah boleh menjadi “kereta kebal” baru Kelantan selepas pemergian Cassio de Jesus, musim lalu.
Menurut pengendali itu lagi, dia berharap keempat-empat itu dapat memberikan lebih minit permainan, pada perlawanan akan datang.
“Apa yang ditunjukkan dalam babak kedua, saya rasa boleh diperkemaskan lagi biarpun ada sedikit kelemahan.
“Apa pun, saya ingin katakan berpuas hati (ada) peningkatan daripada babak pertama ke babak kedua, itu yang lebih mustahak bagi saya,” ujarnya.
Add Comment