
KOMUNITI Liga Mahabbah 2020 di bawah kelolaan syarikat Total Football Management (TFM) dibina adalah untuk memperkasakan pasukan-pasukan bola sepak amatur di Kelantan ke peringkat lebih tinggi.
Liga sosial itu kini memasuki cabaran fasa perlawanan ketiga dan mendapat sambutan menggalakkan dengan melibatkan 32 pasukan sekitar Kota Bharu serta dari daerah lain.
Pengasasnya, Muhammad Asyraf Hasan Basri berkata, tujuan utama liga itu diadakan adalah untuk mendidik pasukan-pasukan amatur dalam memberi kesedaran terutamanya kepada pengurus kemana hala tuju pasukan mereka nanti.
Katanya, dengan didikan kerjasama diterapkan melalui pengurus-pengurus pasukan terlibat secara tidak langsung menjadikan pasukan mereka mempunyai objektif kearah lebih profesional dan menyahut saluran ke Liga M4.
“TFM berhasrat untuk menganjurkan Liga M4 di negeri Kelantan oleh itu kami membina struktur komuniti terlebih dahulu dengan menganjurkan liga ini.
“Kami mengambil peluang menyahut seruan arus perdana bola sepak tempatan kita untuk memperkasakan lagi pasukan amatur- amatur di negeri ini ke saluran Liga M4 yang dikelola oleh anak syarikat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) iaitu Amateur Football League (AFL),” katanya hari ini.
Tambahnya, dengan komuniti liga itu turut dapat memberi pendedahan kepada mereka tidak mudah bergaduh semasa kejohanan, mewujudkan organisasi lebih tersusun, mendaftarkan kelab dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan mengambil inisaitif mencari sumber kewangan yang lebih sistematik.
Jelasnya, pasukan-pasukan juga disarankan mempunyai sistem kejurulatihan sendiri seperti mewujudkan akademi bolasepak, pasukan remaja, dan pasukan utama.
“Konsep Liga Mahabbah 2020 telah memenuhi kriteria untuk menyertai liga M4 anjuran TFM nanti.
“Hala tuju liga ini nanti adalah menyediakan slot lapan pasukan terbaik ke Liga M4, tempat kesembilan hingga 16 ke TFM Primier League, TFM Division 1 League pasukan yang berada ditangga (ke-3 kumpulan), TFM Division 2 League ditangga (ke-4 kumpulan) dan TFM Division 3 League (pasukan amatur yang belum menyertai),”ujarnya.
Menurut Muhammad Asyraf, antara pasukan terlibat dalam Liga Mahabbah 2020 adalah Media FC, Mesra FC, Bachok United, Kelantan City, Sri Kijang FC, Road FC, Gemany FC, Saf United, FKS United, Jungle FC, Perodua KB1 FC, Teluk Bayam FC, Pulau Melaka, Panji FC dan Biah FC.
Add Comment