
Adakah anda masih ingat percubaan pertama skuad negara untuk perlawanan pembukaan Kejuaraan Ragbi Asia 2019 ketika menentang Korea Selatan di Stadium Namdong Asiad, Incheon tahun lepas ?
Mungkin ada yang telah terlupa saat ini. Tetapi bagi kami, ia merupakan usaha berpasukan yang cukup luar biasa, satu percubaan yang disudahi dengan baik oleh seorang pemain asal Sabah yang kuat dan muda.
Lahir pada 8 April 1994, Lawrence Petrus adalah pemain ragbi Malaysia, bermain di posisi prop. Pemain berusia 25 tahun itu juga merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Lahad Datu.
Dipetik menerusi Facebook Malaysia Rugby Union, pemain kelahiran Sabah ini telah jatuh cinta dengan sukan ini sejak bertahun-tahun sewaktu zaman persekolahannya.
Dan kini, Lawrence telah berusaha keras untuk menjadi pemain ragbi terbaik di Malaysia.
Kelab Ragbi Bintulu, merupakan kelab pertama yang memberikan peluang besar untuk Lawrence menunjukkan kemahiran bermain ragbi.
Dengan semangat dan usahanya yang tidak putus-putus, Lawrence akhirnya berjaya memperoleh debut pertamanya untuk pasukan kebangsaan pada 2018, dan bermain di kelas utama Kejuaraan Ragbi Asia 2018.
Menjadikan legenda ragbi Perancis, Sébastien ‘The Caveman’ Chabal sebagai idola, Lawrence berharap mendapat peluang bermain secara profesional di luar negara, seperti Duke Krishnan, Amin Jamaluddin dan juga Marc Le.
Selain berharap untuk bermain di luar negara, Lawrence juga berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki kemahiran dan keupayaannya untuk mencipta kejutan besar pada Kejuaraan Ragbi Asia 2020 yang akan datang.
“Saya percaya, tidak ada yang mustahil dalam sukan ini, selagi pasukan bersatu dan bekerja sebagai satu, dan memberikan komitmen 200 peratus dalam setiap pertandingan,” ujarnya.
Berkongsi pemikiran dan pengalamannya dengan Kesatuan Ragbi Malaysia, Lawrence juga berharap ragbi di Malaysia akan berkembang secara profesional secepat mungkin, untuk membuka pintu peluang kerjaya di masa hadapan.
Lawrence juga menggesa setiap pemain lelaki atau wanita berbakat di luar sana untuk tidak takut atau malu terlibat dalam sebarang aktiviti sukan, terutama ragbi.
“Dalam ragbi, pemain kecil dan fittest masih memerlukan kekuatan besar untuk menghadapi semua cabaran dalam setiap perlawanan. Semua orang membawa peranan penting dalam pasukan, menjadikannya pasukan ragbi yang sempurna,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kesatuan Ragbi Malaysia ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada orang besi Sabah , Lawrence Petrus.
Teruskan kerja yang bagus!
Add Comment