Kualiti yang dimiliki oleh pemain Akademi Rusham FC yang berpangkalan di Jitra, Kedah menyaksikan 7 pemainnya disambar kelab terkemuka negara, JDT diikuti Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dan Felda United pada hujung tahun 2019.

Pemilik akademi tersebut, Datuk Rusham Abu berkata, Arif Aiman Zaaba dan Abid Safaraz Rozaidi kini diikat oleh Akademi JDT manakala Ku Adam Ismail Ku Zainon diikat oleh Akademi Felda United.

4 lagi pemainnya iaitu Fitri Haikal Fairul Rizal, Mohd Irfan Aswad Roslan, Muhd Fareez Huzaimi Fauzi dan Muhd Airey Husainy Yusof pula mendapat perhatian AMD dan diserap ke dalam akademi tersebut pada tahun 2020.
Menurutnya, pada awalnya akademi tersebut menggunakan nama Kelab Bolasepak Kenari Kid Batu 17 sebelum beliau bersetuju untuk mengambil alih selepas melihat bakat dan kualiti dimiliki pemain-pemainnya.

“Sebaik sahaja saya tiba di bumi Jitra ini hati saya terpaut dan terus menyambut pelawaann untuk menguruskan akademi ini untuk membela nasib anak anak kedah ini bermula Januari 2019.
“Sebenarnya saya telah mengikuti perjalanan akademi ini sejak tahun 2018 dan tidak menyangka bakat-bakat di sini cukup menyerlah malah cepat menarik perhatian pasukan negeri dan juga kelab di negara ini,”katanya kepada Cakap Sukan.
Penasihat pasukan PDRM itu berkata, beliau sanggup mengunakan wangnya sendiri tanpa meminta pada mana-mana pihak kecuali yuran bulanan yang dibayar oleh waris sebanyak RM30.

Ulasnya yang berasal dari Tangkak, Johor, beliau sanggup berhabis duit demi melihat dan membangunkan bakat-bakat pemain berpontensi terutamanya di Kedah.
Terdahulu, bakat-bakat dari Rusham FC mendapat perhatian peminat bolasepak tanah air apabila menyerlah di peringkat negara dan antarabangsa pada tahun 2019.

Add Comment