Uncategorized

Jangan sesuka hati guna logo pasukan Kelantan!


Husin (kiri) menyerahkan dokumen kebenaran menggunakan logo Kelantan kepada Pengarah Urusan PUC Sport, Mohd Shukry Pauzi di Kota Bharu, hari ini.

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengingatkan mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya menggunakan logo pasukan Kelantan tanpa mendapat kebenaran daripada badan induk bola sepak negeri itu.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya ada pihak tertentu menyalahgunakan logo tersebut kerana ia bercanggah dengan undang-undang yang termaktub sebelum ini.

Menurut beliau, logo tersebut adalah hak milik penuh KAFA dan telah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Kita mengesan ada beberapa pihak yang masih menggunakan logo pasukan Kelantan untuk mengaut keuntungan menerusi aktiviti penjualan jersi.

“Setakat ini hanya syarikat pengeluar pakaian berjenama PUC Sport sahaja boleh menggunakan logo Kelantan.

“Hal ini kerana PUC adalah penaja utama pakaian rasmi Kelantan untuk musim 2020 selepas menjadi rakan strategik KAFA 2019 lalu,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan mana-mana individu atau syarikat yang telah menggunakan logo pasukan Kelantan supaya segera menghentikan tindakan itu.

Tegasnya lagi, KAFA akan Katanya, KAFA akan bekerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Kepenggunaan (KPDNHEP) Kelantan dalam memantau perkara tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan PUC Sport, Mohd Shukry Pauzi memberitahu, pihaknya akan membentuk pasukan bersama KPDNHEP untuk memantau aktiviti penyalahgunaan logo berkenaan.

“Ia langkah tepat kerana kami telah diberikan hak untuk menggunakan logo pasukan Kelantan sebagai penaja utama pakaian rasmi,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d