Uncategorized

Ahli SAM kini dilindungi caruman Perkeso


Dr Mohammed Azman (dua, kiri) dan Jasni (dua, kanan) berjabat tangan selepas sesi persefahaman antara kedua pihak di Menara Perkeso, sebentar tadi.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersetuju untuk menerima caruman daripada ahli-ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang akan melindungi mereka dan ahli keluarga sekiranya ditimpa musibah.

Persefahaman ini dimeterai ketika kunjungan Presiden SAM, Jasni Shafie bertemu Ketua Eksekutif Perkeso, Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed di Menara Perkeso, Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini.

Melalui caruman ini, ahli SAM, sebahagiannya `freelancer’ dengan pelbagai agensi media sukan, akan dilindungi daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan tugas.

“Caruman ini juga menawarkan kepada ahli SAM faedah tunai dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional,’’ kata Dato’ Sri Dr Mohammed Azman yang menyambut baik langkah SAM yang pantas merebut peluang pengenalan skim baharu untuk pekerjaan sendiri yang baru dilancarkan oleh Perkeso pada 1 Januari 2020.

Menurutnya, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri ini telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri, termasuklah mereka yang terlibat dalam media sukan seperti penulis sukan, wartawan, editor, jurukamera, jurugambar, juru edit visual, artis grafik, juruteknik, produser dan mereka yang terlibat di balik tabir dalam industri media sukan.

SAM berharap kerjasama dengan Perkeso ini telah membuka peluang kepada ahli-ahlinya membuat persiapan menghadapi sesuatu yang tidak diduga, apatah lagi dengan suasana ekonomi tidak menentu yang menyaksikan sebahagian industri media tempatan terpaksa ditutup atau saiznya dikecilkan.

“SAM melihat kerjasama dengan Perkeso ini sedikit sebanyak akan dapat membantu ahli-ahli terutamanya ahli yang bekerja sambilan dalam industri media untuk mendapat perlindungan insurans. Kami mahu kebajikan dan masa depan mereka serta ahli keluarga akan terbela sekiranya sesuatu yang buruk menimpa,’’ kata Jasni selepas pertemuan hampir sejam dengan Ketua Eksekutif Perkeso dan pegawai-pegawai tertinggi jabatan itu.

Melalui skim baru ini, Perkeso menawarkan caruman serendah RM157.20 setahun (RM13.10 sebulan) yang memberikan faedah perubatan, hilang upaya kekal atau sementara, bayaran elaun dan faedah orang tanggungan serta kemudahan pemulihan jasmani serta pendidikan.

“Antara faedah kepada ahli SAM nanti ialah mereka yang ditimpa bencana pekerjaan boleh mendapat rawatan percuma di klinik panel Perkeso serta bayaran ganti belanja rawatan. Ia juga menawarkan pencen bulanan bermula RM945.00 sebulan kepada isteri atau tanggungan atau ibu bapa yang akan dibayar sepanjang hayat. Ini sesuatu yang perlu dilakukan segera oleh SAM bagi melindungi ahli-ahli kami,’’ kata Jasni.

Beliau memberi bayangan bahawa dengan keadaan kewangan sekarang, SAM mungkin akan memberikan sedikit insentif dan sebahagian lagi jumlah caruman dibayar oleh ahli.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading