
DI SEBALIK kemenangan mengejut 2-1 ke atas Kedah dalam aksi persahabatan pra musim malam semalam, jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah tampil dengan nada merendah diri apabila menegaskan ia hanya satu keputusan yang belum boleh dibanggakan.
Malah Yusri mengakui skuad kendaliannya masih dalam fasa membentuk keserasian dan persefahaman jitu biarpun sudah menjalani latihan, sejak enam minggu lalu.
“Kami tidaklah bagus lagi, saya pun takut dengan kemenangan malam ini (semalam), (mungkin) pihak-pihak tertentu telah menilai pasukan berada di tahap berlainan, jadi saya pun risau juga.
“Apapun saya harap semua pihak terus beri sokongan supaya pemain dan pihak pengurusan sendiri bijak menilai pada perlawanan akan datang,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan.
Aksi pra musim di Kota Bharu itu menyaksikan tuan rumah menumpaskan naib juara Piala Malaysia musim lalu menerusi jaringan Mohd Nazrin Nawi seawal minit ke-11 dan Mohd Amirul Shafik Che Soh (m-56) manakala gol tunggal pelawat hasil sentuhan Kpah Sean Sherman (m-34).

Dalam masa sama, pengendali berusia 44 tahun itu merayu kepada penyokong The Red Warriors agar tidak menjadikan anak buahnya mangsa kecaman sekiranya beraksi di bawah tahap keupayaan sebenar.
“Pemain perlukan ruang dan sokongan bukannya takiran (kritikan) kerana takiran tidak akan membawa kita kemana-mana.
“Kalau kita terus menerus menghentam pemain, dimana jiwa kita (penyokong) yang bagi saya Kelantan ini hanya ada pasukan, jadi tolonglah sokong, menakir pun tak ada guna,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Yusri menjelaskan dia akan memuktamadkan senarai akhir skuad Liga Perdana Kelantan, selewat-lewatnya pertengahan bulan ini.
“Saya mungkin tidak menunggu lama kerana makin saya menanti makin dekat perlawanan liga.
“Saya amat rungsing kerana jadual liga begitu padat, ada perlawanan hanya berselang dua hari.
“Jadi saya rasa perlu memuktamadkan selepas perlawanan menentang Terengganu FC II pada 17 Januari ini, kerana kita ada lima minggu sebelum sepak mula perlawanan pertama lagi,” ujarnya lagi.
Add Comment