
TEAM Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, syarikat baharu yang menguruskan pasukan Liga Perdana Kelantan berharap bekas pemain pasukan itu bersabar ketika pihaknya sedang mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji mereka.
Pengarah Urusannya, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata, pihaknya akan memanggil semua bekas pemain berkenaan bagi mengadakan perbincangan berhubung masalah itu, minggu depan.
“Saya mohon kepada bekas-bekas pemain yang ada hutang, harap bersabar (kerana) hanya (ada) satu penyelesaian sahaja yang mampu kita buat iaitu bayar secara ansuran.
“Kalau nak bayar full settlement (
penyelesaian penuh) tak mampu sebab kita nak bina pasukan lagi, nak bayar hutang lagi,” katanya dalam sidang media selepas menandatangani perjanjian kerjasama bersama dua syarikat di Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Setiausaha Agungnya, Husin Deraman.
Menurut Wan Rakemi, beliau juga telah mengambil langkah proaktif dengan berjumpa Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam semalam bagi mendapatkan pandangan mengenai kemelut yang berlarutan sejak sekian lama itu.
“Beliau (Stuart) sedia mendengar daripada pihak Kafa untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini.
“Dengan keadaan kewangan kita hari ini negatif, itu sahaja (saya boleh katakan),” ujarnya.
Add Comment