Uncategorized

SAPURA MAHU PERTAHAN JERSI KUNING DI PETRONAS LTdL 2020


Biarpun kehilangan pemenang jersi kuning PETRONAS Le Tour de Langkawi 2019, Benjamin Dyball, pasukan Sapura Cycling Team (TSC) tetap fokus mahu mempertahankan jersi kuning yang dimenangi pelumba Australia itu apabila saingan edisi ke-25 PETRONAS LTdL 2020 membuka tirainya, 7 hingga 14 Februari depan.

Pengurus pasukan TSC, Sayuti Zahit berkata sekali pun sukar mencari pengganti buat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Dyball, dia yakin barisan pelumba sedia ada mampu mengulangi pencapaian besar TSC pada LTdL lalu.

Menurutnya, TSC amat berbangga kerana menunjukkan peningkatan besar sejak ditubuhkan empat tahun lalu manakala Dyball menjadi pelumba pertama pasukan itu yang dilamar oleh sebuah pasukan berstatus World Tour, NTT Cycling Team (dulu Dimension Data) bagi musim 2020 ini.

Bermula dengan hanya enam kemenangan peringkat pada 2017, TSC menambah jumlah kemenangan kepada lapan pada 2018 sebelum menutup tirai 2019 dengan26 kemenangan termasuk 4 jersi kuning, sekaligus membuktikan tahap kompetitifnya di pentas Asia.

“Sejak awal, objektif penubuhan pasukan ini ialah menyediakan platform kepada pelumba Malaysia dan luar untuk lebih berjaya di pentas antarabangsa dan kami berbangga Dyball membuktikan kehebatannya bersama Sapura sehingga dia dipancing sebuah pasukan bertaraf World Tour.

“Tahun 2020 ini akan menjadi tahun keempat buat TSC dalam saingan Benua Asia dan dengan sokongan berterusan penaja utama seperti Sapura dan penaja lain seperti Castelli, Rudy Project, Shimano dan Cervelo, tidak mustahil untuk kami mengorak langkah lebih jauh dan mencatat keputusan lebih besar,” kata Sayuti yang akur dengan kedudukan tangga kedua dalam senarai Jelajah Asia, di belakang Terengganu Inc Cycling Team.

Untuk menghadapi saingan PETRONAS LTdL2020 yang dijangka lebih mencabar berikutan perubahan status kepada Pro Series oleh UCI, yang mensyaratkan kehadiran beberapa pasukan bertaraf World Tour dan sejumlah pasukan Pro Benua dalam edisi ke-25 pada 7-14 Februari nanti, Sapura membuat persiapan awal demi mencapai sasarannya.

“Untuk menang lebih mudah berbanding untuk mengekalkan jersi kuning, tapi TSC akan cuba mempertahankan jersi kuning itu menerusi tujuh pelumba yang akan disenaraikan nanti, lebih-lebih lagi kebanyakan laluan adalah landau, seperti yang dilakukan Marcus Culey pada peringkat pertama Kuala Lumpur-Tampin pada edisi lalu.

“Jadi senarai tujuh pelumba TSC kali ini berorientasikan ke arah pasukan berasaskan pakar pecut tetapi kami juga mampu mencabar di laluan pendakian,” kata Sayuti lagi sambil menambah pelumba TSC akan berkayuh di Cambodia Bay Cycling Tour pada 6 Januari ini, New Zealand Cycle Classic , Race Tourquay dan Jayco Herald Sun Tour di Australia sebagai persiapan memanas badan.

Selain Culey yang masih segar dengan kejayaan menyapu tiga jersi taruhan di Tour de Selangor pada pertengahan Disember lalu, TSC akan turut menyenaraikan dua pelumba tempatan yang semakin matang, Nur AimanZariff dan Muhamad Zawawi Azman.

Pelumba Belanda berusia 30 tahun, Roy Eefting; juara kebangsaan lebuh raya dan ujian masa Turki, Ahmet Orken; bekas pelumba pasukan Floyd’s dari Romania, Serghei Tvetcovyang dijangka menjadi pencabar dalam perebutan jersi kuning; dan bekas pelumba Amore & Vita-Prodir dari Itali, Pierpaolo Ficara.

Edisi ke-25 PETRONAS LTdL 2020 akan membabitkan kayuhan di lapan peringkat perlumbaan, bermula di Kuching, Sarawak pada 7 Februari dan berakhir di Pulau Langkawi, Kedah pada 14 Februari, meliputi jarak keseluruhan 1095.7 kilometer.

SAPURA CYCLING TEAM
Marcus Culey (AUS); Nur Aiman Zariff (MAS); Muhamad Zawawi Azman (MAS); Roy Eefting (NED); Ahmet Orken (TUR); Serghei Tvetcov (ROM); Pierpaolo Ficara (ITA)


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading