Uncategorized

Pra musim 2020 : Kelantan Kejutkan Juara Piala FA 2019, Kedah


Mohd Nazrin Nawi (depan) meraikan jaringan ketika Kelantan menumpaskan Kedah 2-1 dalam aksi persahabatan pra musim di Kota Bharu, sebentar tadi.

Foto kredit : KELANTAN FA

Kelantan mengejutkan Juara Piala FA musim lalu, Kedah 2-1 pada perlawanan persahabatan pra musim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Tuan rumah mula mengasak pintu gol Kedah seawal minit keempat namun sepakan bebas Nik Akif Syahiran Nik Mat terus ke dakapan penjaga gawang, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Pemain sayap Kelantan, Mohd Nazrin Nawi menceriakan hampir 5,500 penyokong apabila rembatannya daripada luar kotak penalti terus menerjah jaring untuk memastikan kedudukan 1-0 memihak tuan rumah, minit ke-11.

Tersentak jaringan itu, skuad Lang Merah melancarkan serangan pantas menerusi Kpah Sean Sherman tetapi Tchetche Kipre gagal memanfaatkan peluang terhidang di dalam kotak penalti, empat minit kemudian.

Ancaman pelawat hadir lagi pada minit ke-18 menerusi hantaran silang Mohd Rizal Ghazali tetapi Sean Sherman terlepas peluang untuk mencetak nama selaku penjaring apabila tandukannya sedikit melepasi palang.

Minit ke-20 menyaksikan giliran Kelantan mengatur serangan tetapi percubaan pemain import yang sedang diuji, Felix Chidi Odili digagalkan Mohd Ifwat Akmal disusuli rembatan Nik Akif Syahiran tersasar daripada gawang pelawat.

Kebuntuan jaringan skuad kendalian Aidil Sharin Ishak akhirnya terlerai apabila Sean Sherman menolak masuk gol penyamaan setelah berlaku kekalutan dalam kotak penalti tuan rumah, pada minit ke-35.

Dua minit berselang, Mohd Nazrin hampir memberikan gol tambahan buat Kelantan namun percubaan derasnya ditepis keluar Mohd Ifwat Akmal sekali gus kedudukan 1-1 terikat untuk 45 minit pertama.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk kembali mengatasi Kedah apabila pemain gantian, Mohd Amirul Shafik Che Soh bijak menyempurnakan gerakan pantas Mohd Danial Ashraf Abdullah dengan menolak masuk gol kedua, pada minit ke-56.

Menuju minit ke-65, Kedah terlepas peluang untuk mengikat kedudukan setelah rembatan jarak dekat Sean Sherman ditampan penjaga gol gantian, Abdul Arif Abdullah disusuli sepakan separa voli Kipre, tersasar seminit kemudian.Sean Sherman yang merupakan bekas penyerang PKNS musim lalu sekali lagi gigit jari apabila percubaannya hasil hantaran Amin Adam Lazarter Nazari melewati palang, pada minit ke-74.

Gawang tuan rumah terselamat lagi apabila sepakan bebas Mohd Hadin Azman terkena tiang sebelum tindakan susulan rakan sepasukannya diselamatkan Abdul Arif, dua minit selepas itu.

Kesilapan Mohd Ifwat Akmal mengawal bola terlalu lama di dalam kotak penalti hampir membawa padah namun mujur percubaan penyerang Kelantan, Nik Azli Nik Alias tersasar jauh, pada minit ke-83 dan keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: