
Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Ishak tidak terkesan dengan kekalahan pasukannya kepada Kelantan pada aksi persahabatan pra musim di Kota Bharu, malam semalam.
Sebaliknya Aidil Sharin berkata, pertemuan tersebut lebih kepada proses menguji kesemua pemainnya sebelum berlepas ke Kemboja untuk menghadapi siri persahabatan, hari ini.
“Kita tahu pra musim ini lebih kepada try and error benda yang kita nak buat, (apa) objektif kita datang ke sini (Kota Bharu).
“Bukan sahaja keputusan tetapi apa yang boleh kita tengok untuk menghadapi kelayakan Liga Juara-Juara Asia,” katanya kepada Cakap Sukan sejurus perlawanan.
Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, skuad Lang Merah tumpas 1-2 kepada Kelantan hasil jaringan Mohd Nazrin Nawi dan Mohd Amirul Shafik Che Soh manakala Kpah Sean Sherman menjaringkan gol tunggal buat pelawat.
Jelas pengendali import Singapura itu lagi, perkara paling penting sekarang adalah melihat anak buahnya meningkatkan tahap kecergasan dalam perlawanan selepas memulakan persiapan sejak enam minggu lalu.
“Semuanya berkisar soal match fitness dan siapa yang sesuai untuk diturunkan dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara Asia itu.
“Kita ada lima perlawanan lagi, jadi apa yang kita boleh nampak (pertemuan dengan Kelantan), Baddrol (Bakhtiar) tak main, Keon (Khairul Helmi Johari) pun tak main, macam saya cakap semuanya dalam peringkat mencuba dan saya beri peluang kepada pemain beraksi,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai gandingan Sean Sherman-Tchetche Kipre, sebagai jurulatih dia pasti mahu menuntut sesuatu daripada kedua-dua penyerang import itu.
“Keserasian mereka okey, ini baru perlawanan kedua mereka, masih awal lagi bukan satu dua perlawanan terus dapat persefahaman.
“Mereka bukan datang dari negara yang sama, bermain dengan pasukan (terdahulu) yang sama, jadi kita harus bersabar dan beri peluang kepada mereka,”ujarnya lagi.
Add Comment