
Arena sukan badminton negara dikejutkan dengan berita kepulangan jurulatih pembangunan remaja, Mohammad Izuan Ibrahim ke rahmatullah, malam ini.
Allahyarham Mohammad Izuan, 35, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, sekitar jam 7.15 malam setelah lima hari bertarung nyawa akibat tidak sedarkan diri.
Terdahulu, beliau menjalani pembedahan pada 18 Disember lalu bagi mengeluarkan darah beku di otak setelah mengalami intracranial bleeding sehingga mengakibatkan koma.
Jenazah Allahyarham akan disolatkan di rumah keluarga mertuanya di Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dato’ Kampung Banggol, 12 tengah malam ini.
Beliau meninggalkan seorang balu, Siti Marsyhtah Muhammad dan tiga orang anak.
Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Negeri Kelantan (PBNK), Dr Naharuddin Hashim menyifatkan pemergian Allahyarham Mohammad Izuan pada usia yang muda satu kehilangan besar bagi dunia badminton negara.
Menurutnya, Mohammad Izuan sepatutnya melaporkan hari ini dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mengendalikan skuad remaja bawah 13 tahun negara selama dua tahun.
“Beliau adalah satu contoh terdekat seorang jurulatih yang penuh dedikasi dalam mencungkil bakat pemain dan mengasah kebolehan pelapis dan meningkatkan mutu pembangunan badminton di Kelantan.
“Ini yang beliau lakukan sepanjang berkhidmat di negeri kelahiran pada 2015 hingga 2017 selepas berkelana di Ehime, Jepun selama tiga tahun,” katanya kepada Cakap Sukan.
Nama Mohammad Izuan mula dikenali selepas membantu Jepun menjulang Piala Thomas dengan menundukkan Malaysia 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Siri Fort, New Delhi, India, pada 2014.
Beliau ketika itu merupakan jurulatih perseorangan kedua, Kento Momota yang menumpaskan pemain negara, Chong Wei Feng 21-15, 21-17 untuk membolehkan negara matahari terbit itu mendahului 2-1.
Momota kini muncul pemain nombor satu dunia mengatasi Chou Tien Chen (Taiwan) dan Cheng Long (China).

Add Comment