
Satu perlawanan bola sepak amal akan diadakan bagi mengutip dana untuk membantu pesakit kanser otak, Muhammad Syakir Aiman Suhoimi, malam esok.
Perlawanan tersebut membabitkan pasukan Kelab Pengadil Ketereh, Kelantan menentang Kejora FC dari Terengganu yang akan berlangsung di Padang Majlis Daerah Ketereh – Perbandaran Islam, jam 8 malam.
Pengerusi Persatuan Pengadil Ketereh, Zailani Hanizam Ishak berkata, pihaknya terpanggil untuk mengadakan perlawanan itu bagi meringankan beban keluarga pesakit berkenaan.
“Kami berharap orang ramai khususnya masyarakat di Ketereh hadir beramai-ramai menyaksikan perlawanan amal ini dan menghulurkan sumbangan.
“Sumbangan ini nanti akan kita diserahkan kepada keluarga adik Syakir Aiman,” katanya kepada Cakap Sukan, hari ini.
Menurutnya, Muhammad Syakir Aiman baharu berusia lima tahun merupakan anak tunggal kepada pasangan, Suhoimi Mohd Arifin,36 dan Suriawati Che Hassan,35 yang tinggal di Felda Kerteh 5, Ketengah Jaya, Dungun.
Tambahan lagi, bapa kanak-kanak berkenaan bekerja sendiri manakala ibu bertugas sebagai pembantu tadbir di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
“Syakir Aiman ni dah lama sakit tapi bulan April tahun ini makin teruk sakitnya. Sehinggalah Ogos lalu, doktor mengesahkan dia menghidap kanser otak.
“Kita diberitahu sekarang ni adik Syakir berada di HKL (Hospital Kuala Lumpur) untuk menjalani rawatan radioterapi,” ujarnya.
Semoga diberikan kesembuhan buat adik Muhammad Syakir Aiman..