
Team A merangkul kejuaraan setelah menundukkan Team D 2-1 pada Kejohanan Badminton Tertutup Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan 2019, Kota Bharu, semalam.
Pada perlawanan akhir, Team A meraih mata pertama menerusi gandingan Muhammad Amin Shafiq Sakri / Dr Mohd Rahimi Che Jusoh yang menumpaskan pasangan, Mohd Hafiz Mohamad / Prof Madya Dr Md Salzihan Md Salleh 23-21, 21-18.
Bagaimanapun, Team D bangkit memberi saingan dengan menyamakan kedudukan apabila beregu mereka Ahmad Faris Musa / Mohd Yusoff Ismail menang ke atas Abd Latiff Hamid / Wan Abd Khalid Wan Yusoff, 21-15, 21-18.
Penentuan juara menyaksikan beregu ketiga Team A, Md Khairul Nizam Ibrahim / Mohd Hakimi Yazit dipaksa memerah tenaga namun sebelum berjaya mengecewakan Wan Ahmad Tarmizi Wan Zainal Abidin / Kamaruzaman Ibrahim 21-17, 24-22 dalam pertarungan sengit selama 47 minit.
Dengan kemenangan tersebut, Team A membawa pulang wang tunai RM300 dan hamper manakala naib juara, Team D menerima RM200 dan hamper.
Penaja utama Dr Khairul Anwar Musa daripada Klinik Pergigian Al-Rizqin, Kok Lanas menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Kejohanan yang berlangsung di Kota Bharu Badminton Centre (KBBC) turut mendapat tajaan bersama daripada Pensyarah Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof Madya Dr Mohd Salzihan Md Salleh dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Prof Madya Dr See Too Wei Cun.
Jurucakap penganjur Ahmad Faris Musa berkata, kejohanan tersebut merupakan aktiviti tahunan bertujuan mengeratkan hubungan selain mempromosikan budaya bersukan dalam kalangan kakitangan universiti berkenaan.
“Kejohanan ini disertai empat pasukan yang diwakili enam pemain dan ia dijalankan secara liga. Alhamdulillah ia berlangsung penuh meriah kali ini,” katanya.
Sementara itu, pengurus Team A, Muhamad Khairul Imam Che Ali mengakui kejayaan tersebut memberi kepuasan biarpun terpaksa berhempas pulas dalam aksi final.
“Memang saingan cukup sengit terutama dalam pertemuan beregu ketiga itu tapi Alhamdulillah mungkin ini rezeki bagi pasukan kami tahun ini,” ujarnya.
Add Comment