
SELEPAS bergelar juara di Phuket, Thailand pada minggu lepas sekali lagi aura juara terus bersama Harimau Olimpia FC.
Pada aksi final petang semalam, Harimau Olimpia FC membenam cabaran Kuala Lumpur Youth Soccer Academy dengan keputusan jaringan 3-0 pada Kejohanan Piala Jemputan KL 2019.
Uniknya dalam pertemuan itu, kelibat Fared Haikal Adli terus diberi kepercayaan bermain dalam skuad utama pasukan.
Pemain muda asal Miri itu terdahulu membantu pasukannya menunjukkan jalan keluar Sekayu Youth Soccer Academy Sumatera Indonesia pada babak separuh akhir.
“Syukur..Ianya sesuatu yang begitu luar biasa. Terima kasih kepada pengurusan Harimau Olimpia yang memberi saya peluang bermain dan saya amat menghargainya,” kata Fared Haikal.

Sementara itu, Jurulatih Pembangunan Sarawak, Mohamad Hakimi Man mengucap syukur kerana anak didiknya terpilih dan membalas kepercayaan diberikan oleh pengurusan pasukan.
“Buat semua ahli pasukan Harimau Olimpia FC terutamanya Dato Rosniaida Ismail, kami amat menghargai semua ruang dan peluang yang diberikan untuk pemain dari Miri.
“Ironinya kita juga punya bakat dan potensi utk berkembang,” katanya kepada cakapsukan.com
Tambah Mohamad Hakimi, pihaknya sentiasa terbuka dalam mengeksport pemain berbakat dan berharap kerjasama seumpama ini akan terus terjalin pada masa depan.
“Insya Allah pasti kerjasama sebegini akan kita teruskan untuk memberikan manfaat kepada pemain muda berbakat dan mengilap potensi pemain dari luar bandar.
“Apa yang dilalui Fared Haikal Azli diharapkan memberikan inspirasi kepada yang lain,” ujarnya dengan penuh pengharapan.
Add Comment