Uncategorized

Lebih 500 peserta sertai UiTM International Orienteering Championship 2019


Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menganjurkan UiTM International Orienteering Championship 2019 pada 6 hingga 8 Disember 2019 bertempat di Shah Alam.

Kejohanan yang mendapat pengiktirafan International Orienteering Federation (IOF) ini merupakan julung kali dan dianjurkan secara bersama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Empat kategori dipertandingkan iaitu Sprint World Ranking Event, Sprint National Ranking Event, Sprint Youth Event dan Relay Sprint.

Seramai 100 orang peserta dari luar negara sudah mengesahkan penyertaan seperti dari Spain, Belgium, Estonia, Japan, Hong Kong, Chinese Taipei, Singapura, Indonesia, Filipina dan Bangladesh.

Bagi penyertaan dari Malaysia, seramai 410 orang peserta akan bersaing bersama-sama dengan atlet dari luar negara.

Kejohanan akan melibatkan dua lokasi utama iaitu di kampus UiTM Shah Alam dan Tasik Shah Alam.

Menurut Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad berkata, tujuan utama UiTM menganjurkan kejohanan ini bagi meletakkan nama UiTM pada peta sukan orienteering antarabangsa disamping membantu mempopularkan lagi sukan orienteering ini di Malaysia.

“Kita sedia maklum yang sukan orienteering ini begitu popular di Eropah dan kita harap dengan kehadiran atlet-atlet dari luar negara ini dapat membantu mempopularkan UiTM dan Bandaraya Shah Alam sebagai salah satu lokasi Sports Tourism kepada dunia,” katanya.

Upacara perasmian telah berlangsung semalam di Laman Budaya Galeri Tasik Shah Alam dan disempurnakan oleh Dr Wirdati Mohd Radzi Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Turut hadir ialah Professor Dato Dr Rahmat Mohamad Timbalan Naib Canselor (Industri, Komuniti dan Jaringan Alumni) Universiti Teknologi MARA serta YBhg. Dato’ Haji Haris Bin Kasim, Dato Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam.

Untuk rekod, atlet UiTM Azam Mohd Shihid yang merupakan juara World Ranking Event dalam kejohanan yang diadakan di Kuantan Oktober lalu juga akan turut bertanding bagi edisi di Shah Alam ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: