
Azlan Shah Kamaruzaman meluahkan kekecewaan di sebalik kurangnya publisiti terhadap pencapaian pelumba negara meraih kejayaan di pentas antarabangsa.
Dipetik menerusi laman sosial peribadinya, Azlan Shah mengakui hampa apabila kejayaannya tidak mendapat liputan luas media tempatan sekali pun membawa nama negara dalam sukan berkenaan.
“Kecewanya rasa bila baru-baru ini membawa bendera Malaysia yang ku sanjung di Buriram selepas dinobatkan juara Asia.
“Namun sambutan surat khabar tiada langsung menceritakan kenangan manis menjulang piala Asia Road Racing,” katanya.
Menurutnya, sebagai pelumba yang membawa nama Malaysia ke persada dunia, pengorbanan sebagai atlet yang menggadai nyawa demi negara tidak harus dipinggirkan sama sekali.
Sambil memohon maaf memuat naik status tersebut, pelumba ONEXOX TKRR SAG itu dalam masa sama tetap berharap semua pihak dapat membantu mempromosikan kejayaan pelumba negara, pada masa akan datang.
Baru-baru ini, pelumba berusia 35 tahun itu dinobatkan selaku juara pertama kategori ASB100 Asia Road Racing Championship (ARRC) 2019 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.
Pelumba kelahiran Klang itu yang menunggang BMW S1000 RR mengetepikan rakan senegara, Zaqhwan Zaidi dan Broc Parkes dalam kategori berkenaan.
Add Comment