
“Apabila saya melawat beliau di hospital, Faizul M Nasir sebak dan kesal tidak dapat menyumbang pingat emas kepada negara, “
Itu kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong selepas melawat pesilat negara itu di Bay Point Hospital di Subic, Filipina, semalam.
Pagi semalam, Faizul dikejarkan ke Bay Point Hospital di Subic, Filipina, dalam keadaan tidak sedar diri akibat daripada kecederaan yang dialami semasa pertandingan di Subic Bay Exhibit and Convention Centre menentang Dines Dumaan pada pusingan awal Kelas Putra B.
Beliau kemudiannya dipindahkan ke Medical City di Clark untuk rawatan lanjut.
“Saya bersama Puan Nurul Huda, Timbalan CDM dan pegawai MSN yang lain telah melawat Faizul di Medical City sebentar tadi (semalam).
“Setakat ini, Faizul telah menjalani CT scan dan beliau kini sudah berada dalam keadaan stabil,c katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Walau bagaimanapun, katanya pihak hospital memaklumkan bahawa beliau masih perlu berada di bawah pemerhatian doktor.
“Saya telah berbincang dengan Dr Victor, pegawai kluster perubatan pihak penganjur Sukan SEA Manila, dan menegaskan bahawa Faizul mesti mendapat khidmat perubatan terbaik di sini,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Steven memberitahu Faizul, beliau sudah pun menjadi seorang wira di mata negara.
“Saya yakin rakyat Malaysia turut akan berasa bangga dengan usaha dan prestasi beliau selama ini.
“Ayuh kita semua doakan kesembuhan buat Faizul,” katanya.
Add Comment