Uncategorized

Jack Lepoui bimbing dan semai nilai positif dalam bakat muda


Lepoui (tengah) menerangkan aspek teknikal kepada pemain Paris Saint-Germain Academy Phuket pagi tadi.

MEREKA menunjukkan ketekunan dan kesungguhan dalam mengikuti segala arahan yang diberikan.

Lebih-lebih lagi arahan yang diberikan itu bukan daripada sebarang orang, tetapi daripada Jack Lepoui yang merupakan jurulatih muda berbakat besar dari Cameroon.

Lepoui ditugaskan untuk melatih kanak-kanak bawah 12 dan bawah 14 sekitar Phuket, Thailand bagi program Paris Saint-Germain Academy Phuket yang baru sahaja bermula dua bulan lalu.

Seramai 60 kanak-kanak telah mendaftar diri dan diberi peluang menyertai sesi bola sepak khas yang dikendalikan oleh Lepoui.

Menerusi sesi latihan hampir dua jam yang diadakan di Universiti Rajaphat Phuket pagi tadi , kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 13 tahun itu telah diberi tunjuk ajar dan bimbingan oleh Lepoui sambil diselia oleh Jean-Robert Jaffré jurulatih profesional daripada Perancis.

Sambil menunjukkan kemahiran mereka, kedua-dua jurulatih itu mengajar peserta kanak-kanak bagaimana asas menggelecek dan menendang bola.

Paris Saint-Germain Academy Thailand tersebut merupakan sebahagian daripada kelab yang berpangkalan di Ligue 1 bertujuan memberi pendedahan kepada kanak-kanak bergelar pemain profesional pada masa depan.

Terbaru, mereka akan menyertai Piala Asiana Indonesia Bawah 11 Tahun yang bermula pada 13 hingga 15 Disember 2019 di Jakarta, Indonesia.

Lepoui (empat, kanan) dan Jean-Robert Jaffré (tiga, kiri) bergambar bersama pemain akademi selepas tamat sesi latihan.

Mengulas tentang latihan tersebut kepada Cakap Sukan, Lepoui berkata:

“Bola sepak mengajar seseorang mengenai kemahiran yang berharga yang dapat diterapkan dalam diri mereka seperti ketekunan, kerja berpasukan dan disiplin.

“Oleh itu saya gembira dapat bekerjasama dengan Paris Saint-Germain Academy Thailand dalam mengendalikan akademi eksklusif ini.

“Menerusi akademi bola sepak ini juga, saya berharap dapat menyemai dalam diri mereka kepentingan nilai-nilai ini serta menggalak mereka untuk terus mengejar impian selain mengingatkan mereka bahawa mereka boleh berjaya dalam apa jua perkara yang mereka inginkan.”

Kanak-kanak tersebut juga telah diberi beberapa tip berguna oleh Jean-Robert Jaffré yang pernah mewakili pasukan FC Nantes.

Selain berkongsi tentang perjalanan beliau sebagai bekas pemain bola sepak profesional dalam Ligue 1 bersama antara kelab terkemuka dunia, Jean-Robert Jaffré juga telah memberi nasihat dan dorongan untuk pemain muda akademi di bawah seliannya.

Untuk rekod, dia juga memiliki Lesen Kejurulatihan UEFA Kelas A pada 2013.

Hadir sama untuk meninjau sesi latihan adalah Jurulatih Pembangunan Sarawak, Mohamad Hakimi Man.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d