
MALAYSIA merupakan sebuah negara majmuk yang meminati sukan bola sepak dan sememangnya ia terbukti menyatupadukan rakyat jelata.
Dengan tunjang tiga teras kaum utama, Melayu, India dan Cina serta bumiputera di Sabah dan Sarawak meletakkan keunikan negara kita di pentas global.
Bagi tujuan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melakukan kunjungan hormat ke atas Majlis Sukan India Malaysia (MISC) sambil menyambut baik perancangan hala tuju majlis sukan itu untuk menjadikan bola sepak sebagai ejen riadah dalam masyarakat india.
Presidennya, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin Datuk Hamidin berkata, perancangan itu terkandung dalam pembentangan MISC yang menerangkan pelan hala tuju serta jadual majlis sukan itu sepanjang tahun 2020.
Tambahnya lagi, MISC ada mengemukakan beberapa perkara untuk diselesaikan bersama pihak FAM.
“Menerusi sesi kunjungan hormat dan dialog hari ini, MISC ada berbincang dengan FAM tentang cara membuka ruang buat pelajar khususnya remaja India berusia 15-17 tahun bergerak aktif dalam sukan bola sepak.
“Bagaimanapun, saya difahamkan oleh MISC bahawa penyertaan dan bakat dari murid di peringkat sekolah rendah sangat memberangsangkan cuma kita perlu sama-sama memikir cara untuk menggilap bakat-bakat itu daripada lenyap apabila mereka memasuki alam remaja iaitu dengan memperbanyakkan lagi program di peringkat sekolah tahun depan.
“Hari ini juga, kita sama-sama berbincang dan mencari jalan untuk mempromosikan lagi bola sepak di kalangan kaum India terutama di peringkat akar umbi,” katanya.
Hadir sama, Presiden MISC, Dato’ R. Subramaniam bersama Naib Presiden MISC merangkap Naib Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram. Turut hadir, barisan exco FAM dan juga barisan exco MISC.
Kunjungan hormat ke atas MISC adalah yang ketujuh selepas FAM ke Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) dan Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA), Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).
MISC adalah pasukan jemputan pertama yang juga bukan ahli gabungan PBMM bergelar juara PERR sejak Singapura kali terakhir melakukannya pada 1983 dengan menewaskan Pulau Pinang 4-2.
Add Comment