
PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) akan mengemukakan tuntutan bayaran ganti rugi RM11,000.00 kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan kerosakan 44 unit kerusi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tuntuntan ini dibuat selepas PSM melakukan pemeriksaan selepas di antara pasukan Malaysia dan Indonesia bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, KL Sports City pada 19 November lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nik Razeen Adam Daud menjelaskan, dia turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap yang telah ditunjukkan oleh para penyokong pasukan bola sepak Indonesia.
“Kami telah memberikan sambutan baik untuk mengalu-alukan kedatangan para penyokong pasukan bola sepak Indonesia ke Stadium Nasional. Walau bagaimanapun setelah apa yang berlaku, saya berasa amat kecewa sekali kerana sambutan baik yang kami berikan tidak dihargai oleh mereka.
“Pada 19 November yang lalu seramai 75,000 penonton membanjiri Stadium Nasional yang terdiri daripada penyokong kedua-dua pasukan. Hasil pemeriksaan yang dibuat selepas perlawanan, didapati sejumlah 44-unit kerusi Stadium Nasional telah dirosakkan oleh para penyokong Indonesia yang mengakibat kerugian sebanyak RM11,000.00 kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
“Justeru itu,PSM akan mengemukakan tuntutan bayaran gantirugi berkenaan kepada FAM selaku penganjur perlawanan yang membuat tempahan mengikut syarat yang terkandung di dalam terma perjanjian sewaan venue,” jelasnya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan.
Add Comment