
PENGENDALI Skuad Bawah 22 Tahun Negara (B22), Datuk Ong Kim Swee menganggap keputusan seri yang diraih anak didiknya pada aksi menentang Myanmar adalah keputusan positif buat pasukan pada temasya Sukan SEA ke 30 di Filipina.
Gagal memberikan aksi sebagaimana yang diperlukan namun bangkit pada separuh masa kedua, bukan mudah selepas lama tidak bersama, mampu mencipta peluang itulah antara beberapa intipati dinyatakan Kim Swee selepas tamat perlawanan pertama Kumpulan A dengan keputusan seri 1-1 menentang Myanmar.
Jelasnya, jika dilihat pada aksi separuh masa pertama pemain gagal mengawal permainan dengan baik namun ia berbeza pada babak kedua.
“Kami bertambah baik separuh masa kedua dengan beberapa perkara positif, perlawanan pertama bukan mudah selepas tidak lama bermain, kesukaran pergerakan bola tetapi saya percaya kita mempunyai peluang yang lebih baik.
“Penting untuk kita cipta peluang dan tentunya harus pastikan peluang yang dicipta mampu dapatkan gol dan jika tidak mampu jaringkan gol kita akan hadapi masalah
“Satu mata amat berharga dan kita tahu ada lagi tiga perlawanan yang bukannya mudah,” tegasnya.
Selepas ini Malaysia bakal berdepan tuan rumah Filipina pada 29 November, Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember) untuk melengkapkan aksi Kumpulan A.

Add Comment