
PERSATUAN Taekwondo Negeri (MTA) Kelantan muncul juara keseluruhan Seni Bela Diri Taekwondo Terbuka Kebangsaan Zon Pantai Timur bagi merebut Piala Timbalan Menteri Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Jidin kali kedua, semalam.
Pada kejohanan yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Politeknik Kota Bharu itu, MTA Kelantan yang tampil selaku tuan rumah berjaya menggondol 37 pingat emas, 41 perak dan 45 gangsa.
Persatuan Taekwondo Universiti Malaysia (UMTA) Kedah pula merangkul gelaran naib juara dengan membawa pulang 10 pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.
Satu lagi wakil negeri Jelapang Padi iaitu Galaxy Taekwondo menduduki tempat ketiga terbaik dengan mengutip enam emas, dua perak dan satu gangsa.
Kejohanan yang disertai hampir 200 peserta daripada pelbagai negeri itu dirasmikan Presiden MTA Malaysia, Dato Seri Nik Aswan Nik Abdul Aziz.
Kejohanan tersebut mempertandingkan pelbagai kategori melibatkan peringkat umur seawal lima tahun sehingga 18 tahun.
Sementara itu, ketua jurulatih MTA Kelantan, Master Zakaria Ismail berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna ketika persatuannya dalam rangka persediaan untuk menghantar atlet bertanding di China, awal tahun depan.
“Prestasi yang ditunjukkan atlet MTA Kelantan amat membanggakan dan mereka menterjemahkan latihan keras selama ini dengan meraih pingat terbanyak untuk pasukan menjadi juara,” katanya.
Menurutnya lagi, menerusi kejohanan di luar negara itu, pihaknya akan memilih atlet terbaik untuk mewakili Kelantan sebagai persediaan beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor.
Add Comment