Uncategorized

Sambutan Jubli Perak 25 tahun lonjak status LTdL 2020

 

Tun Mahathir pencetus kejohanan LTdL sejak 24 tahun lepas.

SELEPAS 24 tahun, PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 melangkah gah ke hadapan memasuki dekad baru dengan sambutan Jubli Perak 25 tahun yang menandakan bermulanya fasa baru bagi perlumbaan terulung negara itu di sini malam tadi.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan pencetus dan pengasas LTdL, merasmikan sambutan Jubli Perak LTdL 2020 dalam suasana penuh warna warni dan bermakna di Menara Berkembar PETRONAS di sini.

Bermula daripada sebuah perlumbaan jelajah sederhana mengelilingi pulau berstatus 2.6 pada 1996 yang bertujuan menggerakkan ekonomi dan sektor pelancongan di Pulau Langkawi, LTdL kini berkembang pesat sebagai perlumbaan berprestij Asia yang telah diwarnai pelbagai pasukan dan pelumba ternama dunia.

LTdL mengorak langkah memasuki cabaran fasa baru yang lebih mencabar dengan status sebagai perlumbaan ProSeries UCI, struktur baru yang diwujudkan badan berbasikal dunia UCI untuk menghimpun perlumbaan elit dari serata dunia dan berkelas dunia.

ProSeries, yang berada setakuk di bawah kategori tertinggi Siri Jelajah Dunia UCI (yang terdiri daripada Tour de France, Giro d’Italia, Vuelta Espana, saingan Klasik serta perlumbaan Jelajah Dunia lain),  menyenaraikan hanya 30 perlumbaan berstatus Hors atau Kelas 1 daripada struktur pasukan UCI sebelum ini.

Saingan edisi ke-25 itu dijadualkan dari 7 hingga 14 Februari dengan membabitkan 8 peringkat perlumbaan,  bermula di Kuching dan berakhir di Pulau Langkawi meliputi jarak keseluruhan sejauh 1095.7km.

LTdL 2020 membabitkan lapan negeri termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perak , Penang dan Kedah manakala Sabah pula diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi perlumbaan julung kali Kriterium Antarabangsa yang dijadualkan pada 6 Februari di Kota Kinabalu. Acara rasmi Pengenalan Pasukan juga akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 5 Februari 2020.

Perlumbaan sehari Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari dan perlumbaan Klasik Malaysia di Langkawi pada 15 Februari merupakan dua perlumbaan khas yang diadakan bersempena sambutan Jubli Perak LTdL 2020. Ia merupakan inisiatif penganjur Human Voyage yang bertujuan menarik minat ramai dan memberi peluang kepada pelumba muda negara dan ASEAN bersaing bersama-sama pelumba profesional dalam kancah yang kompetitif dan berkelas dunia. Ia juga bertujuan menarik pembabitan pelbagai pihak termasuk pihak Penaja untuk sama-sama membangun dan menyemarakkan sukan dan industri berbasikal di negara ini.

YAB Tun Dr Mahathir, dalam ucapan perasmiannya menyatakan penghargaan terhadap kejayaan LTdL yang berkembang dan berjaya meniti peringkat tertinggi sehingga menjadi perlumbaan berprestij yang mendapat perhatian pelbagai pasukan dan pelumba professional ternama dunia.

Sejak bermula pada 1996, LTdL menjadi gelanggang pilihan pasukan dan pelumba profesional termasuk dari negara yang mempunyai sejarah sukan berbasikal yang lama seperti Itali, Perancis, Sepanyol, Jerman, Britain dan negara Eropah lain dengan sesetengahnya pula berjaya mengetengahkan diri menjadi pelumba berstatus elit dunia. Ini termasuk nama-nama besar dunia seperti juara Tour de France Egan Bernal, legenda Itali Andrea Tafi, juara dunia Paolo  Bettini, Alessandro Pettachi, Floyd Landis, Chris Horner, Julio Perez, Rinaldo Nocentini, Jan Koerts, Stuart O’Grady, Thomas Voeckler, Gabriele Missaglia, Steven Kruijswijk dan pakar pecut Caleb Ewan dari Australia.

“Perkembangan pesat LTdL telah membantu meletakkan nama Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia. Bukan itu sahaja, ia turut memberi manfaat kepada daerah-daerah, bandar dan pekan yang dilalui LTdL. LTdL ternyata amat sinonim dengan rakyat Malaysia dan penyertaan semula Sabah dan Sarawak pasti menambah keunikan dan cabaran baru kepada LTdL 2020,” kata Tun Dr Mahathir.

Tun Dr Mahathir memuji usaha penganjur Human Voyage untuk terus mempopularkan sukan berbasikal di negara ini dengan menganjurkan dua perlumbaan unik sempena edisi ke-25 LTDL kali ini – perlumbaan Kriterium Antarabangsa dan perlumbaan Klasik Malaysia – yang menyerupai perlumbaan-perlumbaan klasik sehari yang amat terkenal dan mendapat sambutan meluas di Eropah.

Peranan dan sumbangan pelbagai penaja yang terbabit menjayakan LTdL juga amat dihargai termasuk sokongan dan sumbangan besar PETRONAS yang merupakan Penaja Acara LTdL 2020. PETRONAS merupakan antara penggerak utama LTdL sejak awal acara sehingga kini.

“Buat pertama kalinya, kita menyaksikan bagaimana pelepasan utama LTdL 2019 berlangsung megah dengan berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas di ibu negara. Terima kasih dan penghargaan kepada semua penaja di atas pelbagai sumbangan dan diharapkan pembabitan yang sama pada masa depan,” kata Tun Dr Mahathir.

Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage Datuk Ahmad Mustafa dalam pada itu menyeru rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan dan latarbelakang bersatu memberi sokongan padu menjayakan LTdL 2020 dan menampilkan suasana harmoni serta kepelbagaian dan keunikan Malaysia, sesuai dengan imej  dan status baru LTdL kali ini.

“Selain saingan getir di atas gelanggang,  kami berharap dapat pergi lebih jauh menyebar dan menyemarakkan keseronokan LTdL kepada sebanyak mungkin rakyat dan peminat, bukan sahaja di Semenanjung, Langkawi, Sabah dan Sarawak, bahkan meliputi seluruh rantau Asia dan dunia,” kata beliau.

Bersempena sambutan 25 tahun LTdL, Datuk Ahmad berkata pelbagai acara sukan dan komuniti dirancang bagi menarik minat dan membabitkan pelbagai pihak, pihak berkepentingan, penaja, masyarakat setempat, peminat sukan berbasikal dan rakyat keseluruhan untuk menjadikan LTdL 2020 paling meriah dan menarik.

Dengan status sebagai perlumbaan ProSeries UCI, penganjur optimis menarik penyertaan pasukan ternama dari kelompok WorldTour, Pro Benua dan pasukan benua dari Asia, Oceania, Eropah, Amerika dan Oceania yang tersenarai pada kedudukan utama ranking dunia.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: