Uncategorized

CDM disebalik tabir


APABILA atlet meraih emas dalam acara yang dipertandingkan, laungan dan kata-kata pujian serta semangat pastinya dihamburkan atas kejayaan yang diraih begitu juga persatuan sukan.

Namun kita seringkali memandang sepi peranan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) yang diamanahkan bagi memimpin atlet-atlet Malaysia pada setiap kejohanan yang berlangsung sama ada dalam mahu pun luar negara.

Mengorbankan masa, tenaga mahupun pandangan itulah peranan yang digalas CDM bagi memastikan cabaran atlet negara pada temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina bermula 30 November hinggalah 11 Disember nanti berjalan dengan lancar dan meraih kejayaan.

Bermula masalah penginapan, makanan, venue pertandingan dan isus-isu semasa yang berlaku di Filipina, semua ini digalas Ketua kontijen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Datuk Megat Zulkarnain menggalas jawatan tersebut kerana percaya boleh membantu dari aspek pengurusan, perjalanan dan persiapan kontinjen negara keseluruhannya.

Memiliki pengalaman kerana sudah terbabit dengan dunia sukan sejak sekian lama, tahu perasaan seorang atlet apabila mewakili negara ke sukan temasya, perasaan jurulatih, pengurus dan lebih penting kehendak persatuan sukan kebangsaan antara elemen penting yang tersemat dihatinya demi Malaysia.

Penyediaan makanan halal, jarak penginapan atlet, keselamatan atlet dan urusetia sepanjang temasya selain keselesaan rakan media Malaysia yang bakal membuat liputan sering dibangkitkan CDM setiap kali menghadiri mesyuarat di Manila.

Kini berbaki seminggu sahaja lagi, Kontinjen Malaysia akan turun beraksi pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina yang bermula dari 30 November hingga 11 Disember ini dengan reputasi sebagai juara bertahan.

Status juara keseluruhan yang diraih di Kuala Lumpur , Ogos 2017 dengan kutipan 145 pingat emas sekali gus yang terbaik sepanjang menyertai temasya dwitahunan itu.

Sebahagian atlet negara yang bakal menggalas cabaran pada Sukan Sea ke 30 nanti.

Namun pada edisi ke 30 di Filipina, kehadiran Malaysia pastinya menjadi perhatian dan bualan pesaing lain dalam setiap acara yang disertai atlet-atle negara.

Pencapaian terbaik kontinjen negara di luar Kuala Lumpur adalah meraih 68 emas di Korat, Thailand pada 2007.

Mengambil kira pencapaian terkini atlet negara dan pasukan lawan , sasaran 70 pingat emas di Sukan SEA 2019 di Filipina yang diumumkan adalah realistik.

Selain atlet yang menjadi tumpuan, Ketua kontijen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin turut mendapat perhatian pada temasya kali ini.

Jelasnya, sasaran itu ditetapkan selepas proses penelitian lengkap dengan mengambil kira penyertaan kali pertama 396 atlet yang akan beraksi di temasya itu.

“Betul, sasaran kali ini hanya tambah dua pingat emas berbanding temasya sama di Korat pada 2007 walaupun ada peningkatan dari segi penyertaan atlet. Namun, kita kena ambil kira ramai atlet yang pertama kali beraksi di temasya antarabangsa.

“Kita tidak ada rekod pencapaian lepas mereka. Saya mesti akui kalau kita lihat dari segi peluang mungkin akan dapat lebih pingat emas tetapi saya tidak berani kerana kebanyakan atlet dan sukan baharu dipertandingkan di Filipina. Kita pun tidak tahu prestasi pihak lawan macam mana,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, di Hotel Tenera Bangi, baru-baru ini.

Mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda simbolik cabaran Sukan Sea 30 bermula.

Pada majlis berkenaan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan sasaran 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa diletakkan ke atas kontinjen negara yang diwakili oleh 773 atlet dalam 52 daripada 56 acara yang dipertandingkan.

Sasaran 70 pingat emas itu dijangka bakal meletakkan kontinjen Malaysia di kedudukan empat negara terbaik daripada 11 negara Asia Tenggara yang bertanding.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: