
Bekas pemain bola sepak Kelantan dan negara era 70’an, Ramli Abdullah meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Kampung Laut, Tumpat hari ini.
Allahyarham Ramli, 68, mengalami penyakit angin ahmar, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laut, selepas Asar petang ini.
Karier Allahyarham bersama Kelantan bermula awal tahun 1970’an dan kali terakhir menyumbang keringat kepada pasukan negeri, pada 1980.
Antara pemain yang pernah beraksi bersama Allahyarham ialah Irfan Bakti Abu Salim, Abdul Hamid Ramli, Nik Salleh Nik Man, Allahyarham Mahadi Yusof, Yassin Mohd Noor dan ramai lagi.
Sesuatu yang menarik mengenai Allahyarham ialah pernah bermain selaku penjaga gol sebelum menukar posisi dengan beraksi sebagai pemain sayap kiri.
Allahyarham juga dikatakan pernah bermain dengan sebuah kelab di Kedah ketika tinggal di negeri berkenaan, sekitar 1970’an.
Beliau juga pernah mewakili negara di Sukan Sea (dulu Sukan Seap) selain bermain dalam Pesta Bola Merdeka.
Add Comment