
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menggesa pemain Harimau Malaya menunjukkan taring sebenar ketika berdepan Thailand malam ini.
Mengambil kira perlawanan malam ini cukup penting dalam menentukan hala tuju skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe dalam memburu slot ke pusingan seterusnya dan juga layak ke Piala Asia 2023, Hamidin meminta para pemain tampil lebih garang dan agresif bagi memastikan tiga mata penuh di gelanggang sendiri dapat diraih.
“Sudah tentu sebelum ini saya begitu kecewa dengan kekalahan 1-0 kepada Vietnam pada perlawanan ketiga di Hanoi, 10 Oktober lalu yang mana permainan kita ketika itu bukan pada tahap sebenar seperti apa yang ditampilkan pada perlawanan menentang Indonesia dan UAE sebelum itu.
“Jadi untuk perlawanan menentang Thailand malam ini, saya mahu para pemain bangkit semula daripada kekalahan kepada Vietnam itu dan apa yang ditampilkan ketika kita menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan, Sabtu lalu harus dipertingkatkan lagi dengan menampilkan kekuatan sebenar bertemu Thailand ini,” katanya dipetik dalam Facebook rasmi FAM, sebentar tadi.
Kata Hamidin, pihaknya amat mahukan kemenangan dapat dicapai pada malam ini.
“Jadi pemain perlu tampil dengan lebih garang, agresif dan tunjukkan taring dan semangat harimau yang sebenar, lebih-lebih lagi kita akan beraksi dengan dibantu sokongan padu puluhan ribu penyokong sendiri.
“Tunjukkan yang anda semua pemain yang bagus dan memiliki kualiti untuk menewaskan Thailand, malam ini,” kata Datuk Haji Hamidin.
Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa untuk bersarapan pagi dengan para pemain skuad Harimau Malaya menjelang aksi keempat Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Turut sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang juga pengurus pasukan serta Dato Posa Majais, penolong pengurus pasukan.
Hamidin turut menyeru para penyokong Harimau Malaya supaya turun beramai-ramai ke Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini bagi memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada para pemain.
Add Comment